LEBUHRAYA PAN BORNEO DIJANGKA SIAP 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan memastikan setiap projek sambungan dan baharu seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015 semalam, dilaksanakan sebaiknya.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia bagi memenuhi keperluan rakyat serta aspirasi kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik untuk mereka.
"Kementerian sudah mengatur strategi dan akan melaksanakan kaedah pelaksanaan baharu seperti diputuskan Unit Perancang Ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam memperuntukkan RM5.95 bilion kepada Kementerian Kerja Raya, kebanyakannya untuk projek sambungan selain projek baharu.
Fadillah menarik perhatian bahawa pelaksanaan empat projek lebuh raya tahun depan diyakini akan menyumbang ke arah usaha merancakkan pelaburan awam dan swasta.
Ia merangkumi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sepanjang 59 kilometer (km) dengan kos RM5.3 bilion, Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting (WCE)(276 km/RM5 bilion), Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH)(47 km/RM4.2 bilion) dan Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE)(36 km/RM1.6 bilion).
Fadillah berkata, peruntukan besar RM27 bilion untuk pelaksanaan Jalan Pan Borneo sepanjang 1,663 km di Sarawak dan Sabah membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk rakyat di negeri berkenaan.

KK: Moga perancangan itu berjalan dengan lancar demi pembangunan Sabah. Amin.

Post a Comment