Pelan Peralihan Bukan Pandangan Majoriti - Pakatan NGO

KOTA KINABALU - Pakatan NGO Pro BN pada Khamis berkata ia percaya pelan peralihan kepimpinan tertinggi Negeri yang dicadangkan oleh lapan ketua bahagian UMNO Sabah semasa perjumpaan mereka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, hanya merupakan pandangan peribadi mereka sahaja.

Presidennya, Zulkarnain Mahdar berkata pendapat lapan ketua bahagian UMNO itu tidak semestinya pandangan ahli bahagian dan ahli Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.

"Saya tidak percaya pelan peralihan ini adalah pandangan atau dipersetujui oleh majoriti ahli UMNO di bahagian-bahagian berkenaan. Mungkin dua atau tiga pemimpin dari bahagian masing-masing bersetuju dengan cadangan itu tetapi ia pastinya bukan pandangan majoriti," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pandangan itu mencerminkan demokrasi benar-benar diamalkan dalam UMNO terutamanya kebebasan menyuarakan pendapat.

Justeru, pelan peralihan kepimpinan itu tidak mengejutkan, katanya, kerana Perdana Menteri pun tidak terlepas daripada kritikan, menyebut contoh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Najib untuk meletak jawatan.

"Tetapi itu pun (Mahathir meminta Najib meletak jawatan) bukan pandangan seluruh populasi pengundi di Malaysia," katanya.

Difahamkan, lapan ketua bahagian UMNO itu - Datuk Rubin Balang (Tenom), Datuk Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Sairin Karno (Keningau), Datuk John Ambrose (Penampang), Datuk James Ratib (Beluran), Datuk Bolkiah Ismail (Kudat) dan Datuk Jumat Idris (Sepanggar) menghadiri perjumpaan itu dengan Najib di Putrajaya pada 10 Julai.

Bagaimanapun Bolkiah dan James kemudiannya menjelaskan mereka tidak tahu cadangan itu akan dibangkitkan semasa perjumpaan dengan Najib.

Jumat juga menyelar cakap-cakap yang beliau dan ketua bahagian yang lain berkomplot untuk menjatuhkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Datuk Seri Musa Aman

Bagaimanapun, katanya, adalah perkara biasa dalam sebarang organisasi untuk memberi laluan kepada peralihan kepimpinan lancar.

"Cadangan itu (hanya) untuk memudahkan peralihan lancar kepimpinan Negeri apabila masanya tiba," kata beliau.

Sementara itu, Zulkarnain berkata Musa harus dikekalkan sebagai Ketua Menteri oleh sebab kejayannya dalam meningkatkan ekonomi dan juga pembangunan di Sabah. Dalam tempoh 11 tahun Musa sebagai pemimpin tertinggi Sabah, katanya, Musa meningkatkan simpanan Negeri kepada lebih RM3 billion.

Beliau berkata kecekapan Musa terbukti sejak mula apabila beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Chong Kah Kiat.

"Simpanan Negeri sebelum beliau mengambil alih daripada Chong hanyalah RM150 juta tetapi sekarang ia hampir RM3.2 billion," katanya.

Menurutnya lagi, ia bukan satu tugas mudah untuk mentadbir Negeri ini dengan pendapatan tradisional dan teras daripada balak, yang berkurang secara mendadak.

"Tetapi oleh sebab kebijaksanaan dan pengalamannya (Musa) sebagai seorang pemimpin korporat, Sabah sekarang antara negeri di negara ini dengan hasil yang tinggi," katanya.

Pelaburan asing ke Sabah tahun lepas, katanya, meningkat 275 peratus dengan nilainya lebih daripada RM1 billion berbanding hanya RM226 juta pada 2012.

Beliau berkata kadar kemiskinan Sabah juga turun daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus pada 2012. Di bawah Musa juga, katanya, ramai kontraktor Bumiputera Kelas F mencapai kejayaan. "Jadi apa alasan yang kamu ada terhadap Ketua Menteri,"katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin-pemimpin bahagian sebaliknya menumpu kepada usaha meningkatkan pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagi kawasan Parlimen Sepanggar, beliau menggesa Jumat berusaha keras untuk menawan semula kerusi Negeri Inanam daripada pembangkang dengan mendorong lebih banyak pembangunan di kawasannya.

Zulkarnain berkata, dengan adanya hubungan rapat Jumat dengan beberapa Kementerian Persekutuan, beliau boleh meminta dana secara langsung daripada kementerian berkenaan.

Post a Comment