Peruntukan RM31j untuk Sekolah dan Badan Bukan Islam

KHAMIS, OKTOBER 16, 2014
KOTA KINABALU - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM31,302,000 untuk Sekolah-sekolah dan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam di Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menerangkan dalam ucapannya bahawa daripada jumlah itu, sebanyak RM13,880,000 adalah untuk sekolah-sekolah termasuk Sekolah Cina dan Tadika. "Manakala peruntukan untuk badan-badan keagamaan bukan Islam seperti Gereja dan rumah-rumah ibadat untuk Cina, Hindu dan Sikh adalah sebanyak RM17,422,000. "Daripada jumlah keseluruhan peruntukan untuk badan keagamaan bukan Islam, RM11,730,000 diperuntukan kepada gereja-gereja, RM5,442,000 untuk Tokong Cina dan RM250,000 lagi untuk rumah-rumah ibadat Hindu dan Sikh.

Ringkasan Pembahagian Peruntukan untuk Sekolah-sekolah dan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam di Sabah:

1) Sekolah-sekolah termasuk Sekolah Cina & Tadika - RM13,880,000
2) Badan-badan keagamaan bukan Islam - RM17,422,000
     (i) Gereja-gereja - RM11,730,000
     (ii) Tokong Cina - RM5,442,000
     (iii) Rumah ibadat Hindu & Sikh - RM250,000

Datuk Seri Musa Aman juga percaya dengan adanya sumbangan secara tahunan ini, sekolah-sekolah dan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam akan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan untuk menampung kos operasi harian, menjalankan program-program berkaitan serta penambahbaikan institusi dan badan keagamaan masing-masing. 

"Sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita sentiasa membela nasib rakyat termasuklah membantu sekolah-sekolah dan pertubuhan agama yang mewakili pelbagai kepercayaan agama di negeri ini. "Kita menyedari institusi pendidikan seperti sekolah amat penting dalam melahirkan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan dan kemajuan. Dalam masa yang sama, badan-badan keagamaan memainkan peranan memupuk nilai-nilai mulia dan positif dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama," kata beliau.

Musa juga turut menjelaskan bahawa isu-isu agama tidak timbul di Sabah. 
"Kita jangan terikut-ikut dengan hasutan pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri. Selama ini, kita di Sabah hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni, saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira suku kaum, agama dan budaya, sehinggakan Perdana Menteri mengakui dan mengiktiraf Sabah contoh terbaik semangat 1Malaysia. "Oleh itu, sama-sama kita memelihara dan mengekalkan semangat perpaduan, kekitaan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini," jelas beliau.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata antara tahun 2004 sehingga tahun ini, peruntukan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah berjumlah RM88,536,019 dan dalam tempoh yang sama, RM119,997,180 diperuntukan kepada badan-badan Keagamaan bukan Islam. Jumlah ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam iaitu sejumlah RM208,553,199 dalam 11 tahun. Beliau yakin bahawa peruntukan itu telah digunakan dengan sebaik mungkin. Musa juga turut menjelaskan kepada pemberita bahawa usaha-usaha untuk membantu sekolah-sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini akan terus dilaksanakan setiap tahun.

"Walaupun negeri Sabah berbilang bangsa dan agama namun dapat hidup dalam suasana aman damai kerana adanya persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, seterusnya membolehkan kerajaan memaju dan membangunkan negeri ini," katanya.






















Post a Comment