Sebuah Legasi Negarawan Ulung - 'Misi Umatik Tun Mustapha'

"DALAM jangka panjangnya, kita ingin melahirkan satu keturunan rakyat Malaysia yang tulin. Kita berhasrat membentuk satu rupa pengenalan rakyat yang mempunyai peribadi Malaysia sendiri. Kita mahu menyatukan cara hidup, sikap, kebudayaan dan pandangan mereka sebagai orang Malaysia."
(Datu Haji Mustapha, 1973 dipetik dalam Junaenah Sulehan, 2002)

"Tun Datu Mustapha membangunkan pendidikan pribumi Sabah yang menyeluruh. Jiwa besar sebagai seorang muslim yang bercirikan negarawan yang melihat secara jujur membangun Sabah wajar melalui pendidikan. Kedua, beliau amat arif bahawa penghayatan dan pelaksanaan syariat Islamiyyah dalam konteks hubungan sosial kepelbagaian suku kaum mempunyai sumbangan yang signifikan dalam pembangunan negeri Sabah."
(Petikan Resolusi ABIM Sabah sempena Seminar Memperingati Tokoh: Tun Datu Mustapha pada 13 September 2003, Kompleks Haji Sabah, bersempena mengenang beliau meninggal dunia).

MUKADDIMAH

Mari kita mengirimkan al-fatihah buat negarawan ulung Al-marhum Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun (1918-1995), Hayatnya 75 tahun, namun sumbangannya 'melepasi 75' tahun akan datang. Pemerintahannya sekitar sepuluh tahun (1963-1975), namun sumbangannya telah melampaui puluhan tahun. Inilah indahnya warisan tamadun Islam, yang ditandai dengan sejumlah figura dan watak. Al-Quran mengajar umat ini untuk melahirkan watak-watak 'khayra umat' (umat terbaik). Pada tahun ini (2/1/2015), genap 20 tahun Tun Mustapha meninggal dunia. Tun Mustapha harus dikenang sebagai salah seorang figur dan watak penting dalam sejarah Sabah moden. Kerana sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam pembentukkan Malaysia.

Figur ini harus dikemukakan kepada generasi baharu, agar obor sumbangan dan cita-cita murni beliau turut dikongsi bersama, diambil manfaat dan dijadikan contoh tauladan. Beliau turut menampilkan bukti 'sosok idealisme' bukan sekadar pejuang kemerdekaan yang bijaksana, gigih, tekun namun juga seorang pemimpin 'umatik' yang amat dekat dengan hati nurani masyarakat. Beliau melihat jauh ke hadapan, mengangkat martabat umat dengan memberi keutamaan kepada program mendidik umat merentas generasi yang digambarkan sebagai 'yang muda beliau tuntun, yang tua beliau santun,' Tuna Mustapha persis seorang bapa pendidik ulung yang inginmelihat Sabah menjadi penyumbang kepada keharmonian Negara bangsa Malaysia.

'MISI UMATIK'

Tun Mustapha mengecap dan menikmati makna kemerdekaan negeri Sabah selewat usia 40an. Tetapi, jiwa merdeka beliau telah ditanam dan disuburkan oleh Allahyarham ayahanda beliau Datu Harun bin Datu Nasaruddin. Bapa dan keluarga beliau telah meniupkan misi umatik dalam jiwa dan hati nurani beliau. Misi umatik yang merujuk kepada individu dengan jiwa sadar benar tentang nasib umat terbanyak, jiwa yang tahu tentang peranan dirinya dalam masyarakat, jiwa yang insaf tentang makna hamba-khalifah dan tanggungjawab di hadapan Allah swt. Beliau telah dididik untuk menyedari tentang nasib umatnya walaupun dibesarkan dalam sistem pendidikan penjajah. Tun Mustapha mempunyai daya saring yang luar biasa. Tun Mustapha sedar benar tentang peranan dalam masyarakat waktu itu walaupun dilatari tugas sebagai jentera pentadbiran kerajaan penjajah. 

Lantaran itu, seawal usia remaja-belia, Tun Mustapha telah aktif di persada masyarakat. Sumbangan dan khidmat bakti beliau terserlah sama ada dalam pergerakan NGo dan organisasi formal. Sekali lagi daya saring dan daya juang beliau tidak pernah luntur. Kemerdekaan Tanah Melayu (1957) turut menjadi semangat beliau untuk menggerakkan proses kemerdekaan Sabah bersama pemimpin masyarakat yang lain. Misi umatik inilah yang menjadi motivasi hakiki dalam gerak kerja beliau. Misi umatik ini menjadikan beliau pembela dan jurubicara umat; memahami keperluan dan susah payah masyarakat; membangunkan polisi dan dasar-dasar bernegara yang mengambil kira nasib umat terbanyak; berkongsi kuasa dan bijaksana dalam membuat keputusan; memandang jauh tentang nasib dan masa depan umat; menolak tepi kepentingan sempit diri-peribadi, keluarga dan kelompok-kelompok; serta meletakkan keutamaan yang betul dalam pentadbiran negeri dan organisasi.

Nah! di sini satu pelajaran penting buat pendidik, murabbi dan ibu bapa hari ini tentang 'mempersiap generasi' yang mempunyai misi umatik. Mempersiap generasi yang sedar tentang nasib umat bukan lupa daratan dan cinta dunia semata; mempersiap generasi pembangun umat dengan sumbangan khidmat bakti yang baik dalam pelbagai bidang; mempersiap generasi yang beriman dan bertaqwa. Kerja ini perlu dilakukan secara sadar dan hikmah. Bukan kebetulan dan 'accidental'. Bibit generasi perlu dipersiap dengan wawasan dan halatuju yang jelas terarah bukan 'bebas, lepas-sikap dan terlepas'. Rasulullah SAW mempersiapkan Saidina Ali r.a walaupun dengan isyarat tidur di atas tempat perbaringan Rasulullah SAW semasa peristiwa hijrah. Baginda Rasulullah SAW menghantar isyarat tanggungjawab dan penyertaan generasi muda dalam misi penting tentang masa deopan umat.

Misi umatik inilah yang melahirkan watak-watak 'umat centric' sepanjang zaman yang dinamik, berdaya juang, kompeten, kreatif dan inovatif, yang ikhlas dan berhikmah. Sudah tentu, watak saidina Ali r.a yang Rasulullah SAW tampilkan itu bukan watak 'tangkap-muat' tetapi figur insan terdidik, mewakili ikon contoh yang telah dipersiapkan. Tentu saja, semua ramuan ini berakar dalam lingkung kerangka 'Tasawur Islam' yang benar. Tasawur Islam atau Pandangan alam Islam yang benar ini merupakan 'substance' yang menjadi kerangka berfikir, kerangka membuat pendirian yang konsisten yang jelas. Tasawur Islam ini akan melahirkan individu-individu yang mempunyai prinsip yang jelas, halatuju yang jelas, tidak hilang pedoman dan terganggu-gugat dengan perubahan dan cabaran lingkungan. Tasawur Islam ini menjadi kompas dan panduan yang kukuh.

KESIMPULAN

Umat hari ini masih mendambakan sosok tubuh pemimpin umatik sepanjang zaman. Rasulullah SAW memberi isyarat tentang kepentingan melahirkan pemimpin umatik di tengah-tengah zaman. Misi umatik ini adalah mesej nubuwwah atau mesej dan tugasan pewaris perjuangan Rasulullah SAW , perjuangan para anbia as, para ulama dan ilmuan sepanjang zaman. Mempersiap generasi dengan misi umatik ini berada dalam lingkungan pengaruh ibu bapa, murabbi, pendidik dan setiap diri-diri umat Islam hari ini.





Post a Comment