KYS Perjelas Kekeliruan Isu Diploma Tidak Diiktiraf Kerajaan


KOTA KINABALU: Kolej Yayasan Sabah (KYS) menjelaskan bahawa ia tidak menawarkan program yang tidak diberi kelulusan atau akreditasi oleh agensi-agensi berkaitan.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Hilary Sibangun, berkata isu yang dibangkitkan dalam Harian Ekspres pada 27 Disember mungkin timbul akibat salah faham. Michael Walter, bapa kepada Barbra Walter, 24, yang merupakan lulusan Diploma Eksekutif Teknologi Maklumat dari KYS dilaporkan menyuarakan rasa kecewanya apabila permohonan anaknya untuk bekerja di Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah ditolak kerana diplomanya tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Barbra berkata dia tidak pernah terfikir akan berdepan dengan situasi itu memandangkan KYS disokong oleh Kerajaan. Diploma empat tahap yang memerlukan Barbra tiga tahun untuk menamatkannya menelan kos RM23,000 di mana RM22,000 dibayar melalui pinjaman pengajian daripada Yayasan Sabah.

Bagaimanapun, Hilary berkata Kolej Yayasan Sabah telah mengambil maklum isu itu dan membincangkan dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menjelaskan status Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Menurut Hilary, JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia Persekutuan adalah pemilik program itu dan badan pengeluar Diploma yang telah diambil oleh Barbra berdasarkan Piawai Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

"Kolej Yayasan Sabah adalah (hanya) pusat akreditasi untuk menjalankan program itu," katanya, sambil menambah bahawa di Sabah terdapat lebih 40 pusat akreditasi lain untuk JPK seperti Institut Kemahiran Mara, Pusat Giat Mara, sekolah menengah vokasional, Pusat Latihan Perindustrian Sepanggar, antara lain, yang turut mengeluarkan SKM dan DKM. Bagaimanapun, beliau berkata, KYS telah menjelaskan sejak dari awal kepada semua penuntut bahawa pengesahan daripada program di bawah JPK pada asasnya adalah untuk pengambilan kerja dalam industri atau sektor swasta.

"Secara asas, program tersebut adalah untuk melahirkan pekerja-pekerja berkemahiran untuk memenuhi permintaan daripada industri negara menerusi program akreditasi latihan kemahiran di pusat-pusat akreditasi. Tujuan asal program ialah untuk menyediakan pekerja-pekerja berkemahiran untuk industri dan perniagaan persendirian," katanya. Beliau menambah, ia bertujuan sebagai satu pilihan alternatif untuk golongan belia dan pekerja yang tidak cenderung daripada segi akademik namun cemerlang daripada segi kemahiran untuk memperolehi pengesahan dengan cara penilaian praktikal menerusi JPK.

Hilary menjelaskan bahawa selain menjadi pusat akreditasi untuk JPK, Kolej Yayasan Sabah turut didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan sebagai sebuah Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan program-program akademiknya. Menjelaskan lanjut, beliau berkata, untuk diterima sebagai sebuah pusat akreditasi untuk JPK, sesebuah institusi harus mempunyai kemudahan latihan, infrastruktur dan tenaga pengajar yang disahkan.

Objektif utama JPK adalah untuk menyelaras dan mengatur pelaksanaan latihan kemahiran dan melahirkan Pekerja-K dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa untuk pasaran kerja, dan untuk menyelidik dan membangunkan piawaian kecekapan dan kepakaran yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti sumber manusia berkemahiran, yang boleh menumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menilai menerusi kecekapan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 - 3, dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Berdasarkan pengalaman graduan sebelumnya, Hilary berkata mereka tiada masalah mendapat pekerjaan dan mereka juga sedar bahawa mereka tidak boleh mendapat kerja secara langsung dalam perkhidmatan awam selaras dengan kelayakan. Bagaimanapun, ramai antara mereka memperolehi pekerjaan dalam agensi berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

"Pemegang SKM atau DKM tidak mempunyai masalah untuk mendapat pekerjaan dan gaji setimpal dalam industri dan sektor swasta. Bagi sektor perkhidmatan awam (kerajaan), skim perkhidmatan awam memerlukan kelayakan SKM atau DKM untuk tujuan pekerjaan terhad. Bagaimanapun, usaha telah dibuat untuk membuka lebih banyak peluang bagi kemasukan pemegang SKM dan DKM ke dalam perkhidmatan awam, termasuk mengenalpasti 55 skim perkhidmatan dalam perkhidmatan awam yang sesuai dengan kelayakan SKM dan DKM, dan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan. Buat masa ini, terdapat 17 skim perkhidmatan yang menerima SKM Tahap 2 dan Tahap 3 sebagai syarat kemasukan untuk pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam.

JPA kini dalam proses melaksanakan satu kajian dan pertimbangan seluruh permohonan termasuk sijil DKM, satu proses rumit yang mengambil kira pandangan ketua skim perkhidmatan berkenaan, bajet serta skala kemasukan jawatan. Ini sejajar dengan usaha kerajaan yang disebut dalam Ucapan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 23 Oktober 2010 yang menyatakan:
"Kelima: Mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 dan ke atas supaya setaraf dengan aliran akademik. Dengan pengiktirafan ini, pemegang SKM Tahap 4 layak memohon untuk berkhidmatan di sektor awam, manakala bagi mereka yang berkhidmat di sektor swasta dapat menikmati gaji setaraf dengan pemegang sijil diploma."

"Pelajar terdahulu daripada program ini ketika ini bekerja di sektor swasta dan sesetengahnya telah bekerja di agensi-agensi kerajaan. Kolej itu sendiri mempunyai jumlah yang agak besar pekerja dengan kelayakan SKM dan DKM, bekerja dengan kolej tersebut sebagai pembantu pegawai, penyelia dan pegawai latihan kemahiran, Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Harian Ekspres kerana menarik perhatian terhadap istu itu,"katanya sambil menambah JPK juga berharap berita itu akan membantu mempercepatkan usaha di pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyiapkan kajiannya terhadap permohonan itu untuk semua programnya untuk dipertimbangkan sebagai keperluan kemasukan untuk bekerja dalam perkhidmatan awam.

Hilary berkata beliau difahamkan bahawa JPK menunggu lebih daripada 10 tahun untuk kelulusan JPA itu. Mengenai dakwaan oleh bapa Barbra bahawa graduan program diploma sama yang terdahulu tidak diterima masuk ke rakan institusi KYS, Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), Hilary menafikan perkara itu. Pada hakikatnya, terdapat tujuh institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan kemasukan untuk pemegang DKM untuk program ijazah sarjananya.

Bagaimanapun, pemegang DKM mesti memenuhi syarat tertentu seperti menghadiri kelas perantaraan, CGPA 2.5 dan memperolehi kredit dalam subjek Bahasa Malaysia dalam SPM untuk diterima masuk ke program ijazah sarjana muda. Berdasarkan sumber daripada UCSF, suda ada pelajar yang mempunyai kelayakan DKM diterima masuk dalam program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan, katanya. Mengenai program akademik KYS, Hilary berkata, kolej itu menawarkan program Diploma yang mendapat kelulusan dan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan mengawasi secara ketat kolej itu bagi memastikan semua program diiktiraf dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. "Kami mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian tersebut dalam menjalankan program kami samada ia adalah program Kemahiran atau Akademik," kata beliau. Sehubungan itu, Hilary berkata, pengurusan KYS sedia bertemu dengan Michael dan Barbra untuk melihat di mana mereka boleh membatu.

Post a Comment