Pelaksanaan JITU di Sabah perlu diselaras : Musa

Sabtu ,Oktober18, 2014

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu semua Setiausaha Tetap Kementerian di Sabah, menubuh dan menyelaraskan pelaksanaan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) di peringkat jabatan dan agensi masing-masing

Musa berkata tindakan itu selaras dengan penubuhan JITU di peringkat Sabah sebagai kesinambungan kepada inisiatif memperkukuh integriti, khususnya dalam perkhidmatan awam yang sudah menampakkan impaknya.

"Dalam aspek pengurusan kewangan misalnya, bilangan agensi negeri yang memperoleh empat bintang dalam penilaian Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan telah bertambah setiap tahun. Pencapaian ini sudah tentunya amat membanggakan kerana selain menjadi petanda kepada peningkatan integriti dalam kalangan penjawat awam, ia juga merupakan pengiktirafan kepada kecemerlangan yang dicapai," katanya.

Musa berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) Peringkat Negeri Sabah di sini pada Khamis.

Menurut Musa kecemerlangan yang dicapai agensi berkenaan juga boleh diulangi agensi lain, sekiranya mereka menghayati kepentingan nilai integriti seperti disiplin, akauntabiliti, kemahiran dan amanah dalam mengurus wang rakyat.

-Bernama-

Post a Comment