Musa : Pembangunan Usahawan dan Pengeksportan Menjadi Fokus Utama Kerajaan



SANDAKAN : Pembangunan usahawan dan pengeksport juga menjadi fokus utama Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) Sabah dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang berperanan meningkatkan daya saing usahawan dan pengeksport Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, Kerajaan Negeri melalui MID juga aktif mengetengahkan produk tempatan melalui penyertaan dalam pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang diadakan di Melaka pada setiap tahun.

Katanya, disamping itu, syarikat-syarikat Sabah juga sering menyertai pameran yang dianjurkan oleh Matrade terutama di luar negara agar mereka dapat memasarkan barang dan perkhidmatan dengan lebih luas. Musa berkata demikian pada Perasmian Program 'Exporters Forum' Matrade 2014 di sini pada selasa. Teks ucapan Musa disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris. Hadir sama, Pengarah Kanan Matrade, Zulkepli Mohd Perai.

Musa berkata, melangkah ke hadapan, pengukuhan syarikat untuk menerokai pasaran global melalui pengetahuan tentang keperluan pasaran, penggunaan teknologi, peningkatan kualiti pengeluaran serta perkongsian pengalaman adalah penting dalam persekitaran perniagaan global yang semakin mencabar. Justeru, beliau juga mengalu-alukan inisiatif Matrade selaku Agensi Promosi Perdagangan Malaysia untuk membantu agensi-agensi negeri yang berkaitan dan membimbing pengeksport meningkatkan keupayaan bagi menerokai pasaran luar negara.

"Dalam konteks ini, kerajaan negeri dan Matrade sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang-peluang perdagangan kepada syarikat dari masa ke masa," katanya. Sehubungan itu, syarikat-syarikat di Sabah perlu memanfaat maklumat dan bantuan yang disediakan Matrade dan beliau menggesa agar berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan 'home grown brand' berkembang di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Musa berkata, kerajaan negeri juga berhasrat memacu transformasi bagi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang membangun dan maju. Beliau percaya usahawan termasuk petani dan nelayan di Sabah dapat beralih kepada paradigma baharu dalam pengeluaran dan pemasaran barangan dan sektor eksport dapat memberi pulang yang cukup besar kepada perkembangan ekonomi negeri.

Menjelang tahun hadapan, peranan terbuka Asean Economic Community (AEC) akan menjadi kenyataan dan beroperasi sepenuhnya. Ini bermakna, pasaran untuk barangan Malaysia akan menjadi luas dan pengaliran barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih mudah berikutan pengurangan atau pelupusan tarif sepenuhnya di rantau ini.

Musa berkata, Malaysia juga akan menghadapi cabaran saingan dari kemasukan barangan dan perkhidmatan dari negara Asean yang lain. "Oleh itu, kita perlu bersedia dari sekarang dan meningkatkan kualiti barangan dengan konsep pengeluaran yang lebih efisien agar dapat bersaing dengan pengeluar di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya. Sehubungan itu, Musa menggesa syarikat-syarikat di negeri ini mendaftar sebagai ahli matrade bagi mendapatkan maklumat pasaran serta peluang perdagangan terkini.

Mengulas mengenai program yang diadakan di Sandakan, katanya, ia satu wadah yang baik dalam memberi maklumat kepada peserta-peserta mengenai urusan berkaitan. Pada sidang media, Zakaria berkata, usaha Matrade juga sangat bertepatan dalam memberi penerangan kepada pengeksport dan peserta mengenai hal yang dibincangkan.Sementara Zulkepli berkata, daripada 14 ribu syarikat yang berdaftar dengan Matrade di seluruh negara, 176 darinya adalah syarikat dari Sabah. 5 syarikat juga telah berjaya memasarkan produk mereka di luar negara dengan bimbingan Matrade dan agensi yang berkenaan.

Katanya, Matrade juga dari masa ke masa komited melaksanakan program seumpama dan memperkasa pengeksport dengan jalinan kerjasama dengan agensi berkenaan. Beliau juga menggalakkan syarikat mendaftar dengan Matrade dan mengetahui peranan Matrade dalam membantu pengeksport dan usahawan berkaitan khususnya dalam memasarkan produk dan perkhidmatan. Ketika ini, permintaan negara luar tinggi dan usaha meningkatkan kualiti barangan daripada pengeksport juga giat dilaksanakan dan bersaing dengan negara-negara pengeksport lain.

Bagi negeri Sabah, antara yang dieksport adalah hasil bumi seperti industri minyak, kelapa sawit dan perhutanan dan Matrade juga dalam pada itu optimis syarikat Sabah ke arah pengeluaran dan pemasaran antaranya yang boleh dikembangkan iaitu sektor makanan dan minuman serta perabot khususnya industri kecil dan sederhana (IKS)




















Post a Comment