Belia Digesa Teruskan Budaya Kesukarelawan

Selasa, Oktober 28,2014
Tuaran - Golongan belia disaran supaya meneruskan budaya kesukarelawan mereka tanpa mengira waktu.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Tuaran, Datuk Jahid Jahim berkata, tidak ada istilah 'berhenti'dalam tugas-tugas sebagai seorang sukarelawan, sama ada melalui pertubuhan besar mahu pun persatuan belia dan sukan, malah perlu diteruskan sehingga tahap 'tidak mampu' atau 'tidak larat' untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

Sekiranya semangat kesukarelawan itu dikekalkan pada setiap masa, maka kerja-kerja kesukarelawan tersebut pasti menjadi kebiasaan atau rutin dalam kehidupan orang ramai sejak kecil sehinggalah mereka dewasa.


Tanpa kesediaan orang ramai, apatah lagi dalam kalangan ahli untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukarela, pertubuhan dan gerakan sukarela, tidak mungkin berkembang menjadi suatu tenaga yang berpengaruh dan berupaya memainkan peranannya yang penting dalam masyarakat.

Berlandaskan aspirasi kerajaan ke arah menyatukan rakyat yang berbilang kaum, pelbagai persatuan belia yang ditubuhkan di setiap daerah amat menepati intipati tersebut dengan misi penggemblengan kumpulan belia sukarelawan daripada pelbagai bangsa dan agama untuk berusaha merealisasikan aktiviti transformasi pembangunan negara berlandaskan semangat 1Malaysia.

Menurut Jahid, dalam konteks masyarakat moden hari ini, kerja sukarela atau kesukarelawan amat digalakkan kerana dianggap penting untuk memupuk dan mengembangkan nilai, amalan kerjasama dan perpaduan, demokrasi, hak-hak asasi manusia dan keadilan sosial dalam masyarakat.

Post a Comment