Pelancongan Sabah Tidak Terjejas

RANAU: Walaupun kes penculikan melibatkan pelancong ke beberapa pulau peranginan di bahagian Pantai Timur Sabah, namun tidak menjejaskan bilangan pelawat ke Negeri Di Bawah Bayu ini, termasuk ke daerah Ranau.

Jumlah pengunjung ke tiga destinasi peranginan di Ranau iaitu, Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Kolam Mata Air Panas Poring dan Pusat Tagal Ikan Pelian Luanti Baru terus bertambah sepanjang tahun 2014.


Selain tiga tempat itu, turut menjadi pilihan utama para pengunjung ke daerah Ranau dan Kundasang ialah, Ladang Ternakan Lembu (Tinusu) terletak di Mosilou Kundasang, Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua dekat Kedai Sedco pekan Kundasang dan ke beberapa resort seperti Resort Ladang Teh Sabah di Nalapak, Mount Kinabalu Resort & SPA Kundasang, Dream World Resort Mosilou Kundasang, Lohan Eco Range Resort, ‘Walaitokou’ Homestay (Inap Desa) Kg. Sinisian Kundasang dan banyak lagi.

Turut menjadi tumpuan ramai ialah, panorama pertanian atau kebun sayur-sayuran segar tanah tinggi Kundasang terletak di kaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Mengikut catatan umum, bilangan pengunjung Taman Kinabalu tidak termasuk pendaki Gunung Kinabalu tahun lepas seramai 33,,489 orang manakala ke Kolam Mata Air Panas Ranau mencatatkan jumlah 42,329 pelawat dari dalam dan luar negeri. Pusat Tagal Ikan Air Tawar Luanti Baru pula mencatatkan bilangan pengunjung dalam tempuh 10 bulan pertama 2014 ialah seramai 18,791 orang.

Bilangan itu dijangka bertambah tahun ini memandangkan penyediaan pelbagai kemudahan awam di beberapa lokasi peranginan yang ada di Ranau turut dipertingkatkan dan banyak kemudahan lain yang bakal dinaikkan taraf termasuk laluan pejalan kaki ke Jambatan Atas Pokok (Canopy Walk) di Taman Air Panas Poring.

Jurucakap Taman-Taman Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Ranau, memaklumkan, pihaknya akan terus mentransformasikan pelbagai kemudahan serta promosi “Jom Makan Angin Di Ranau dan Kundasang” sebagai inisiatif menggalakkan para pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke dua daerah pelancongan itu.

Ia juga selaras dengan usaha mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah khususnya daerah Ranau sempena Tahun Melawat Malaysia.

Para pengunjung ke daerah Ranau juga, boleh bertandang ke Batu Lagenda Kg. Kinarasan, Batu Jawi di Kg. Kinapulidan, Batu Berpusing di Kg. Matupang dan melihat Panorama Bekas Lombong Tembaga Mamut, yang pastinya menjanjikan kenangan terindah kepada setiap pengunjung. - NST

1 comments:

Banyak tempat yang boleh dan cantik dilawat di Sabah nie...tapi yang paling top ialah Gunung Kinabalu

Reply

Post a Comment