JANGAN BUAT KENYATAAN UMUM MENYELURUH - SALLEH

DS Salleh Tun Said Keruak


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak berkata konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) bukan retorik semata-mata seperti didakwa oleh Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Perlantikan menteri, pembantu menteri, setiausaha tetap, pengarah jabatan serta agensi kerajaan negeri di samping pegawai daerah dan pemimpin masyarakat adalah bukti perkongsian kuasa diamalkan.”

“Ia masih wujud di Sabah,” kata Salleh mengulas kenyataan Dr Ongkili pada Selasa, yang mana beliau berkata ramai penyokong dan ahli PBS tidak puas hati kerana mereka berasa dipinggirkan dalam pembuatan keputusan selain pembahagian kuasa.

Terlalu banyak rungutan dan aduan dikemukakan oleh rakyat bahawa sebagai parti komponen BN, kami dianggap tidak banyak memainkan peranan dalam urus tadbir negeri walaupun memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri, kata Dr Ongkili.

Bagaimanapun, Salleh berkata pelantikan sedemikian adalah bukti tiada satu pun parti dipinggirkan dalam pembuatan kuputusan atau parti komponen lain BN tidak memainkan peranan aktif dalam mentadbir negeri ini.

“Jangan ikut rentak pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri untuk memusnahkan perpaduan dalam BN,” katanya.

Katanya, membuat kenyataan kasar seperti itu boleh menimbulkan perpecahan dalam perikatan berharmoni, dan sebarang masalah atau rasa tidak puas hati harus dikemukakan untuk perbincangan dan tidak disuarakan kepada umum untuk faedah politik.

Salleh berkata isu pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat adalah hasil perubahan yang dibuat beberapa kali termasuk perubahan yang dibuat oleh parti komponen BN kepada senarai nama yang dikemukakan kepada kepimpinan BN Sabah.

Menurutnya, UMNO tiada masalah dengan pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat di kawasan di mana BN kalah kepada pembangkang dalam pilihan raya terakhir.

“Adalah tidak wajar untuk mengatakan bahawa pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat dilantik lebih awal di Sri Tanjong dan Tamparuli, di mana BN kalah. Kedua-dua pemimpin ini adalah dari PBS,” katanya.

Salleh yang juga Speaker Dewan Negeri berkata seorang Pemimpin Pembangunan Masyarakat juga tidak dilantik di Klias, di mana UMNO kalah dalam pilihan raya terakhir.

“Beliau tidak harus membuat kenyataan umum menyeluruh, yang boleh menyebabkan persepsi salah terhadap senario politik di Sabah,”katanya.

Salleh berkata, beliau difahamkan bahawa senarai nama untuk jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat telah pun dikemukakan oleh parti komponen masing-masing dan dimuktamadkan, dan upacara angkat sumpah akan dilaksanakan pada bulan ini.

Katanya, ia termasuk penyerahan senarai oleh presiden PBS kepada kepimpinan BN Sabah.

“Kepimpinan BN Sabah tiada bantahan kepada senarai yang dikemukakan dan kepimpinan PBS sedar ia tiada bantahan,”katanya.

- DE 140115

Pelancongan Sabah Tidak Terjejas

RANAU: Walaupun kes penculikan melibatkan pelancong ke beberapa pulau peranginan di bahagian Pantai Timur Sabah, namun tidak menjejaskan bilangan pelawat ke Negeri Di Bawah Bayu ini, termasuk ke daerah Ranau.

Jumlah pengunjung ke tiga destinasi peranginan di Ranau iaitu, Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Kolam Mata Air Panas Poring dan Pusat Tagal Ikan Pelian Luanti Baru terus bertambah sepanjang tahun 2014.


Selain tiga tempat itu, turut menjadi pilihan utama para pengunjung ke daerah Ranau dan Kundasang ialah, Ladang Ternakan Lembu (Tinusu) terletak di Mosilou Kundasang, Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua dekat Kedai Sedco pekan Kundasang dan ke beberapa resort seperti Resort Ladang Teh Sabah di Nalapak, Mount Kinabalu Resort & SPA Kundasang, Dream World Resort Mosilou Kundasang, Lohan Eco Range Resort, ‘Walaitokou’ Homestay (Inap Desa) Kg. Sinisian Kundasang dan banyak lagi.

Turut menjadi tumpuan ramai ialah, panorama pertanian atau kebun sayur-sayuran segar tanah tinggi Kundasang terletak di kaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Mengikut catatan umum, bilangan pengunjung Taman Kinabalu tidak termasuk pendaki Gunung Kinabalu tahun lepas seramai 33,,489 orang manakala ke Kolam Mata Air Panas Ranau mencatatkan jumlah 42,329 pelawat dari dalam dan luar negeri. Pusat Tagal Ikan Air Tawar Luanti Baru pula mencatatkan bilangan pengunjung dalam tempuh 10 bulan pertama 2014 ialah seramai 18,791 orang.

Bilangan itu dijangka bertambah tahun ini memandangkan penyediaan pelbagai kemudahan awam di beberapa lokasi peranginan yang ada di Ranau turut dipertingkatkan dan banyak kemudahan lain yang bakal dinaikkan taraf termasuk laluan pejalan kaki ke Jambatan Atas Pokok (Canopy Walk) di Taman Air Panas Poring.

Jurucakap Taman-Taman Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Ranau, memaklumkan, pihaknya akan terus mentransformasikan pelbagai kemudahan serta promosi “Jom Makan Angin Di Ranau dan Kundasang” sebagai inisiatif menggalakkan para pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke dua daerah pelancongan itu.

Ia juga selaras dengan usaha mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah khususnya daerah Ranau sempena Tahun Melawat Malaysia.

Para pengunjung ke daerah Ranau juga, boleh bertandang ke Batu Lagenda Kg. Kinarasan, Batu Jawi di Kg. Kinapulidan, Batu Berpusing di Kg. Matupang dan melihat Panorama Bekas Lombong Tembaga Mamut, yang pastinya menjanjikan kenangan terindah kepada setiap pengunjung. - NST

90 Ditahan Di Tahun Baru


SANDAKAN: Sembilan puluh orang, termasuk 44 wanita, ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah dalam satu operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCom), di sini, awal hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman berkata operasi yang bermula kira-kira 05:00 diketuai oleh Ketua Komponen Penyiasatan Khas ESSCom SAC Rosli Mohd Isa dan berakhir pada pukul 8.30 pagi. Ia melibatkan pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

Mereka yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen diikuti oleh penghantaran pulang ke negara asal masing-masing.

"Kami berharap untuk membersihkan pendatang tanpa izin bukan sahaja di pusat bandar Sandakan tetapi juga di semua kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)," katanya.

Beliau berkata operasi membanteras pendatang tanpa izin adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil berikutan pengumuman Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin yang telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini.

Sebelum itu, satu Operasi Bersepadu Khas juga telah dijalankan di beberapa penempatan kampung air di Sandakan dan Lahad Datu, dipantau oleh Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun dan Pengarah Awam ESSCom Ruji Ubi.

ESSCom bermula tahun baru dengan resolusi penuh untuk membendung kemasukan pendatang tanpa izin ke dalam Negeri, khususnya di daerah di bawah ESSZone dengan pelancaran Operasi Bersepadu Khas di Sandakan pada malam tahun baru.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, ESSCom berharap tahun ini akan menyaksikan ESSZone bebas dari pendatang tanpa izin.

Esszone meliputi 10 daerah, melibatkan 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.