KEADAAN BANJIR DI BEAUFORT KIAN TAMBAH BURUK

KOTA KINABALU: Banjir yang melanda daerah Beaufort makin bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan semakin meningkat dengan sekolah-sekolah dan premis perniagaan masih ditutup buat hari kedua.

Selain daerah Beaufort termasuk daerah kecil Membakut, daerah-daerah lain yang turut terjejas ialah jirannya seperti Tenom, Sipitang dan Papar akibat hujan lebat dan berterusan bermula malam Selasa serta laut pasang.

Setakat ini, sebanyak 33 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah ditutup di Beaufort, Papar dan Sipitang. Kira-kira 5,455 pelajar dengan 885 kakitangan  terjejas, kata Jabatan Pelajaran.

Di Beaufort (termasuk daerah kecil Membakut) kira-kira 30 buah sekolah ditutup, dua sekolah di kawasan Papar dan tiga di Sipitang tidak dapat membuka kelas mereka.

Bekalan elektrik juga dipotong di kawasan yang terjejas serta ditenggelami air apabila pencawang-pencawangmya ditenggelami air sekurang-kurangnya tiga buah kampung tidak menerima bekalan elektrik iaitu Kampung Paya Gambut, Kampung Padas Valley 1 dan Valley 2.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah menggerakkan bilik kecemasan 24 jam untuk mengawasi keadaan ini. Setakat ini tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan meski pun sebuah jeti di Sipitang runtuh awal pagi Rabu kerana ombak yang kuat di persisiran pantai itu.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman berkata, setakat ini sejumlah 1,077 orang dipindahkan apabila beberapa buah kampung ditenggelami air di Beaufort dan Membakut setakat jam 3 petang kelmarin (Rabu).

"Keadaan semakin bertambah buruk. Pekan Lama Beaufort terus ditenggelami air manakala sesetengah kawasan paras air mencecah 2.5 meter. Pekan di Daerah Kecil Membakut juga turut dilanda banjir," katanya sambil menambah mereka terus berjaga-jaga jika paras air terus naik di Sungai Padas dan Membakut yang melimpah ke daratan.

Beliau berkata berpuluh-puluh jalan raya terutama jalan-jalan ke kampung-kampung terputus dan tidak dapat dilalui. Sementara itu, 3,000 orang turut dipindahkan di Tenom di mana empat pusat pemindahan turut dibuka. Di Sipitang, kira-kira 78 orang penduduk yang dipindahkan pada awal pagi pada Rabu telah kembali ke rumah masing-masing selepas keadaan banjir surut.


Post a Comment