Sabah negeri pertama guna sistem semakan data bekalan darah dalam talian

KOTA KINABALU - Aplikasi Sabah Blood Line (SBHBloodline) yang pertama kali diwujudkan di negeri ini memudahkan para petugas Unit Tabung Darah (UTD) hospital-hospital kerajaan di negeri ini memantau data stok darah di semua UTD secara dalam talian. Sistem itu dibangunkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKK) dalam tempoh tiga bulan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr. Christina Rundi berkata kejayaan mewujudkan aplikasi seumpama itu selaras dengan saranan kerajaan meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan menerusi inovasi dan kreativiti. Christina yakin melalui usaha transformasi daripada sistem manual kepada sistem operasi atas talian secara realtime, kedudukan stok semasa darah di setiap hospital di negeri ini akan dapat diurus dengan lebih efisen dan efektif, selain membantu unit transfusi yang kekurangan bekalan darah.

Christina berkata isu utama yang dihadapi oleh UTD di hospital kerajaan ialah kekurangan bekalan darah berikutan pertambahan jumlah pesakit yang memerlukan transfusi darah selain jangka hayat darah yang singkat iaitu 35 hingga 42 hari. Oleh itu, dengan adanya sistem ini, UTD seluruh negeri dapat menyemak bekalan darah di UTD berhampiran dengan cepat. Sebelum ini, petugas UTD menggunakan telefon untuk bertanya maklumat darah di UTD berhampiran, sama ada memohon atau memberi bekalan darah seperti dalam kes kekurangan darah yang kritikal atau bekalan darah mendekati tempoh tarikh luput.

Sistem itu dihubungkan menggunakan rangkaian sedia ada dan internet bagi memudahkan penggunanya mengakses sistem itu tanpa mengira tempat dan masa. Dengan adanya sistem ini diharap akan dapat memenuhi permohonan bekalan darah dalam usaha menangani isu pengurusan bekalan darah yang menjadi cabaran dalam UTD.

Post a Comment