GENERASI MUDA HARUS SEDAR BAHAYA GERAKAN PEMISAHAN: MAXIMUS

KOTA MARUDU: Golongan muda tidak harus mudah ditipu oleh kumpulan tertentu yang mahu membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia kerana akibat daripada percubaan seumpama itu akan membawa bencana. 
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr. Maximus Ongkili berkata belia di Sabah dan Sarawak mesti diberi kefahaman mengenai kesannya jika kedua-dua negeri itu berpisah dari Persekutuan Malaysia. 
Beliau berkata generasi muda juga mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan sejarah pembentukan negara supaya mereka tidak akan mudah terpedaya oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merosakkan negara ini.
Sebahagian daripada golongan muda hari ini yang merupakan generasi ketiga Malaysia sejak 1963 tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang sejarah pembentukan Malaysia, tambahnya.
"Akibatnya boleh menjadi serius bukan hanya dalam bentuk keupayaan kita sendiri untuk mengekalkan diri kita sebagai sebuah negara tetapi juga ancaman yang akan kita hadapi daripada elemen luar yang mungkin membuat tuntutan terhadap kita."
"Sebenarnya pembentukan Malaysia pun bukan tanpa bantahan daripada negara jiran yang melancarkan serangan (ketenteraan) terhadap kita untuk menghalang Persekutuan Malaysia daripada menjadi realiti," tambah beliau.
Sebagai Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, beliau turut menyeru belia untuk menghargai aspirasi dan perjuangan ahli pengasas Malaysia terutamanya pemimpin Sabah dan Sarawak yang mahu menyatukan Malaya, Sabah dan Sarawak untuk melindungi kepentingan rakyat dan untuk masa depan yang lebih baik.
"Saya menyeru belia untuk menyertai Parti Bersatu Sabah dalam komitmennya untuk melindungi negara kita Malaysia, mendukung kesucian negara dan menentang elemen tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan Persekutuan.
"Marilah kita tidak mudah goyah oleh elemen yang menggunakan sentimen rakyat untuk kepentingan politik dan mereka yang tidak memikirkan masa depan, kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," tambah beliau.
Dr Maximus turut mengingatkan belia-belia bahawa pemikiran pemisahan juga berbahaya kerana ia boleh sama sperti hasutan.
"Malah di Amerika Syarikat terdapat undang-undang berkenaan pemisahan."
"Kita mungkin tidak selalu berpuas hati dengan apa yang berlaku tetapi tugas kita ialah untuk menjadi rasional dan meningkatkan perkara-perkara sebagai sebuah negara melalui perbincangan dan bukan melalui tindakan seperti itu yang boleh menjejaskan kita semua," katanya.

Post a Comment