Kumpulan Yayasan Sabah Terima Anugerah Cemerlang OSH

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat subsidiari miliknya, Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBJ) sekali lagi menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2014 di bawah kategori perhutanan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH). Acara itu diadakan baru-baru ini di Hotel Marriot Putrajaya, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali kelapan berturut-turut RBJ memenangi anugerah itu dan menerima anugerah itu untuk RBJ ialah Pengurus Kumpulan Perhutanan Gregory Mosigil. Pengauditan dijalankan di pejabat kontraktor RBJ untuk projek Penanaman Mozek di Sandakan.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan setiap tahun oleh NCOSH untuk mengiktiraf organisasi dan individu atas prestasi cemerlang mereka dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan tempat kerja mereka.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mewujudkan dan mempromosikan persekitaran kerja yang selamat dan bebas daripada risiko kesihatan serta untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat sebagai sebahagian daripada budaya kerja Malaysia.

Memahami kepentingan mengambil budaya kerja ini, Kumpulan Yayasan Sabah melalui RBJ telah mengambil satu langkah ke depan dengan menyertai Program Mentor-Mentee di bawah Pelan OSH MP 15 yang ditubuhkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Program ini memberikan penekanan khas dalam meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terutamanya dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Melalui program ini, Syarikat berhubung Kerajaan (GLC) diberi tanggungjawab sebagai mentor dalam memberi panduan kepada syarikat IKS.

Satu Memorandum Persefahaman di antara DOSH, RBJ dan kontraktor RBJ ditandatangani pada November dalam usaha untuk meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan syarikat masing-masing. Sebagai mentor RBJ melaksanakan latihan dan memberikan panduan berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada kontraktornya sambil dipantau oleh DOSH sebagai fasilitator.

Post a Comment