315 Ditahan Dalam Operasi Besar-besaran Banteras PTI Di Sandakan

SANDAKAN: Operasi bersepadu secara besar-besaran bagi membanteraspendatang tanpa izin (PTI) dilancarkan di sekitar Sandakan awal Sabtu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, operasi yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) itu merupakan langkah susulan kepada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri baru-baru ini.

"Kerajaan negeri memandang serius masalah PTI di Sabah dan operasi ini merupakan permulaan kepada pelbagai langkah drastik yang kita akan ambil untuk menangani masalah ini."

"Niat murni kita ialah membersihkan Sabah daripada PTI seperti yang diharapkan oleh rakyat tempatan di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sukarti berkata operasi sama juga akan dilaksanakan di daerah lain khususnya di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau turut menasihati penduduk tempatan supaya memberikan kerjasama dan mengingatkan tindakan tegas akan diambil jika mereka bersekongkol atau melindungi Pati.

Pada operasi yang dijalankan sejak 4 pagi Sabtu itu, Sukarti berkata seramai 315 orang ditahan yang 130 orang dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan untuk tindakan pengusiran oleh Jabatan Imigresen, tiga pula ditahan reman kerana kesalahan dadah, manakala selebihnya dibebaskan selepas berjaya membuktikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata operasi itu, yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MBS), juga menyaksikan lebih 32 rumah penempatan haram yang dihuni oleh Pati dirobohkan, manakala lebih 1,000 rumah lagi diberi notis arahan perobohan oleh MPS kerana mendirikan rumah haram di tanah kerajaan.

Turut berada di lapangan bagi memantau dan menjayakan operasi tersebut ialah Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun dan Pengarah Awam ESSCom Ruju Ubi.

Sukarti berkata operasi tersbut melibatkan seramai 603 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Ibu Pejabat Polis Daerah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan. Turut serta Jabatan Kesihatan, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Jabatan Pertahanan Awam, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Jabatan Air.


Post a Comment