Kumpulan Yayasan Sabah Terima Anugerah Cemerlang OSH

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat subsidiari miliknya, Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBJ) sekali lagi menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2014 di bawah kategori perhutanan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH). Acara itu diadakan baru-baru ini di Hotel Marriot Putrajaya, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali kelapan berturut-turut RBJ memenangi anugerah itu dan menerima anugerah itu untuk RBJ ialah Pengurus Kumpulan Perhutanan Gregory Mosigil. Pengauditan dijalankan di pejabat kontraktor RBJ untuk projek Penanaman Mozek di Sandakan.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan setiap tahun oleh NCOSH untuk mengiktiraf organisasi dan individu atas prestasi cemerlang mereka dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan tempat kerja mereka.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mewujudkan dan mempromosikan persekitaran kerja yang selamat dan bebas daripada risiko kesihatan serta untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat sebagai sebahagian daripada budaya kerja Malaysia.

Memahami kepentingan mengambil budaya kerja ini, Kumpulan Yayasan Sabah melalui RBJ telah mengambil satu langkah ke depan dengan menyertai Program Mentor-Mentee di bawah Pelan OSH MP 15 yang ditubuhkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Program ini memberikan penekanan khas dalam meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terutamanya dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Melalui program ini, Syarikat berhubung Kerajaan (GLC) diberi tanggungjawab sebagai mentor dalam memberi panduan kepada syarikat IKS.

Satu Memorandum Persefahaman di antara DOSH, RBJ dan kontraktor RBJ ditandatangani pada November dalam usaha untuk meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan syarikat masing-masing. Sebagai mentor RBJ melaksanakan latihan dan memberikan panduan berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada kontraktornya sambil dipantau oleh DOSH sebagai fasilitator.

Polis Siasat Dalang Bocor Maklumat

KOTA KINABALU: Polis akan menyiasat dalang di sebalik dakwaan kebocoran laporan dalaman tentang serangan yang dirancang ke atas Sandakan oleh seorang anak bekas ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Mor (MNLF).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Abdul Malik Harun pada Isnin berkata kebocoran maklumat polis, yang tersebar luas melalui Whatsapp dan Facebook, mewujudkan persepsi yang mengaitkan serangan yang dirancang itu dengan satu operasi menangkap pendatang izin yang diadakan di Sandakan pada Sabtu lepas.

Sumber laporan yang dikatakan datang daripada risikan polis terhadap seorang ketua kampung yang mendakwa kira-kira 36 orang bersenjata yang diketuai oleh anak bekas ketua MNLF itu telah mendarat di Sandakan pada 25 Disember.

Ia dalam proses menghantar laporan itu ke balai polis berdekatan, dan menurutnya, laporan itu dikeluarkan kepada orang ramai, dan tersebar luas sehari sebelum operasi bersepadu yang diketuai oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang diadakan pada 27 Disember.

"Ia satu kesalahan dan tindakan disiplin boleh diambil terhadap anggota yang membocorkan maklumat sedemikian sama seperti sesiapa orang awam yang melakukannya," kata Abdul Malek, walaupun beliau pasti ia dilakukan oleh seseorang dalam polis.

Beliau juga memperhatikan, sebelum operasi pendatang tanpa izin itu, ESSCom juga mengadakan satu operasi antipencerobohan dipanggil Ops Pasak 1 dari 24 hingga 26 Disember. Abdul Malek berkata semua kejadian itu tidak berkaitan, menambah ia juga bukan kebimbangan besar kerana operasi seperti seperti apa yang dijalankan oleh ESSCom dan penyebaran maklumat oleh polis merupakan prosedur standard.

Ia termasuk peningkatan keselamatan balai polis jikalau berlakunya serangan berdasarkan laporan perisikan, tambah Abdul Malek. Bagaimanapun, beliau berkata siasatan terhadap kumpulan bersenjata yang dikatakan mendarat di Sandakan juga didapati palsu termasuk kewujudan ketua kampung tersebut.

"Apabila anggota saya pergi ke tempat itu untuk mencari ketua kampung tersebut, kami mendapati tidak ada orang seperti itu dan nama ketua kampung sebenar juga berbeza," katanya. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Komander ESSCom, Datuk Abdul Rashid Harun juga menafikan adanya kumpulan bersenjata yang mendarat di Sandakan, juga tidak ada kejadian tembak-menembak.

"Saya menggesa orang ramai untuk terus bertenang kerana keadaan selamat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) terutamanya di Sandakan dan Semporna," katanya. Pada Sabtu lepas, ESSCom melancarkan satu operasi besar-besaran untuk membanteras pendatang tanpa izin di Sandakan, membabitkan pelbagai agensi lain.

Operasi itu menyaksikan 315 orang dikumpulkan dan selepas pemeriksaan teliti, 120 ditahan kerana kesalahan imigresen, sementara dua lagi direman kerana kesalahan dadah. Menurut Abdul Malek, walaupun ia operasi sebenar, orang ramai tidak harus bimbang dan berasa terancam.

Beliau menasihatkan mereka yang menerima maklumat seperti itu pada masa akan datang, agar menghubungi pihak berkuasa untuk pengesahan dan berhenti menyebarkannya melalui media sosial atau Whatsapp. Satu talian 24-jam juga tersedia untuk orang awam menerima dan memberikan maklumat sedemikian kepada ESSCom pada 089-863181, atau faks kepada 089-863181.






gambar-gambar yang tersebar luas di media sosial Whatsapp dan Facebook

315 Ditahan Dalam Operasi Besar-besaran Banteras PTI Di Sandakan

SANDAKAN: Operasi bersepadu secara besar-besaran bagi membanteraspendatang tanpa izin (PTI) dilancarkan di sekitar Sandakan awal Sabtu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, operasi yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) itu merupakan langkah susulan kepada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri baru-baru ini.

"Kerajaan negeri memandang serius masalah PTI di Sabah dan operasi ini merupakan permulaan kepada pelbagai langkah drastik yang kita akan ambil untuk menangani masalah ini."

"Niat murni kita ialah membersihkan Sabah daripada PTI seperti yang diharapkan oleh rakyat tempatan di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sukarti berkata operasi sama juga akan dilaksanakan di daerah lain khususnya di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau turut menasihati penduduk tempatan supaya memberikan kerjasama dan mengingatkan tindakan tegas akan diambil jika mereka bersekongkol atau melindungi Pati.

Pada operasi yang dijalankan sejak 4 pagi Sabtu itu, Sukarti berkata seramai 315 orang ditahan yang 130 orang dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan untuk tindakan pengusiran oleh Jabatan Imigresen, tiga pula ditahan reman kerana kesalahan dadah, manakala selebihnya dibebaskan selepas berjaya membuktikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata operasi itu, yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MBS), juga menyaksikan lebih 32 rumah penempatan haram yang dihuni oleh Pati dirobohkan, manakala lebih 1,000 rumah lagi diberi notis arahan perobohan oleh MPS kerana mendirikan rumah haram di tanah kerajaan.

Turut berada di lapangan bagi memantau dan menjayakan operasi tersebut ialah Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun dan Pengarah Awam ESSCom Ruju Ubi.

Sukarti berkata operasi tersbut melibatkan seramai 603 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Ibu Pejabat Polis Daerah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan. Turut serta Jabatan Kesihatan, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Jabatan Pertahanan Awam, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Jabatan Air.


Berita Tsunami Bakal Berlaku Sabah Palsu – Jabatan Meteorologi Malaysia




KUALA LUMPUR – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran akan berlaku tsunami dalam tempoh 36 jam di kawasan Sabah Borneo sebagaimana yang tersebar di laman sosial.

Menurut jurucakap Pusat Amaran Awal Tsunami Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, selain tidak mengeluarkan amaran tsunami, JMA tidak mengesan sebarang gempa bumi yang boleh mencetuskan tsunami.

“Kita telah periksa dengan JMA, mereka tidak ada keluarkan apa-apa amaran sama ada (mengenai) tsunami atau gempa bumi,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan hujan lebat dan angin kencang di Sabah ketika ini mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai yang mengaitkannya dengan kejadian tsunami.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Sabah Abdul Malek Tussin berkata pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami.

“Sayapun tak faham macam mana cerita begini boleh timbul,” katanya.

Khabar angin bahawa tsunami akan berlaku di Borneo dalam tempoh 36 jam tersebar di laman sosial susulan sekeping gambar laut bergelora, kononnya diambil di kawasan perairan Brunei, dimuat naik di laman sosial termasuk Facebook.

Ia mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Sabah, yang turut meluahkannya menerusi media sosial.- Bernama

Jangan Sia-Siakan Keamanan - Musa

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengingatkan mesyarakat di negeri ini agar tidak mengambil mudah dan mensia-siakan keamanan dan perpaduan yang dikecapi agar tidak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab. Katanya, perpaduan yang ada perlu dikekalkan agar pihak yang mempunyai agenda tersembunyi tidak mengambil kesempatan untuk menghancurkan kemajuan, kemakmuran dan keharmonian yang telah dibina.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya menerima dan menghormati kepelbagaian budaya , agama dan kepercayaan yang terdapat di negara kita. Sehubungan dengan itu, hak dan keistimewaan setiap rakyat Malaysia akan terus dijaga dan dikekalkan, walaupun berbeza pegangan agama, kepercayaan, budaya dan tradisi.

Menyentuh tradisi rumah terbuka yang dilaksanakan dalam setiap perayaan, Musa berharap budaya kunjung-mengunjungi melalui rumah terbuka itu terus diadakan demi memupuk perpaduan, dan bukannya dijadikan sebagai platform untuk mencapai matlamat politik semata-mata. Beliau berkata, memandangkan masyarakat pada masa kini boleh hidup dalam keadaan aman, beliau menyarankan agar perpaduan dan kesepakatan yang dinikmati terus dikekalkan.

Matlamat ini akan dapat dicapai sekiranya kita kekal bersatu dan tidak membenarkan kepercayaan dan sikap saling menghormati terhakis mengikut peredaran masa. Rakyat di negeri ini disarankan agar terus berdaya tahan dan kukuh agar dapat membina negara ini bersama-sama dan mencapai kualiti hidup yang lebih baik, disamping menjadikan Sabah lebih berdaya saing di Malaysia dan di rantau ini.

Musa juga mengingatkan dalam meraikan perayaan ini, jangan lupa mengenai golongan dan insan yang kurang bernasib baik. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan penyayang, kita perlu tampil untuk membantu mereka yang memerlukan, apatah lagi sempena sambutan Krismas ini. Keadaan akan bertambah gembira apabila melihat semakin banyak pihak sama ada orang perseorangan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang meraikan Krismas di rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat jagaan orang kurang upaya.

Musa juga melahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga demi tugas dan tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara. 

PERINTAH BERKURUNG PERLU DILANJUTKAN

KOTA KINABALU - Perintah berkurung perlu dilanjutkan hingga satu tempoh tiada lagi ancaman dihadapi daripada musuh. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, buat masa ini negara masih menghadapi ancaman musuh dan pengganas dari negara jiran. Ancaman berkenaan benar dan musuh-musuh kita adalah mereka yang melakukan aktiviti penculikan serta kumpulan tentera yang memanggil diri mereka sebagai 'Royal Sulu Forces' (RSF).

"Kita sentiasa memantau rapi aktiviti mereka dan bekerjasama rapat dengan rakan dari Filipina serta negara lain dalam mengumpulkan meklumat risikan. "Usaha ini bagi memastikan kita sentiasa tahu apa juga langkah-langkah yang mungkin mereka ambil," katanya. Khalid berkata, pihaknya perlu bersedia setiapa masa dengan meningkatkan lagi kehadiran pasukan-pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

Selain itu jelasnya, bermula 25 hingga 27 Disember ini, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan satu latihan bersama di pantai timur Sabah. Latihan berkenaan katanya, sebagai langkah untuk menyiapkan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman musuh. Khalid memberi jaminan kepada rakyat Sabah khususnya di pantai timur bahawa pasukan keselamatan sentiasa melakukan semua usaha yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan warga Sabah serta pelawat dan pelancong yang datang terjaga.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaludiim Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung bermula 25 Disember sehingga 9 Januari 2015. Menurutnya, keputusan berkenaan berdasarkan faktor keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan khususnya kepada rakyat Sabah di daratan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone). Tindakan terbabit juga bagi memudahkan penguatkuasaan, memantau segala pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, serta menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata.

Banjir Di Tenom Dan Beaufort; Penduduk Diminta Berjaga-Jaga



TENOM: Tiga puluh satu keluarga telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di daerah kecil Kemabong, iaitu Kg Bangkulin dan Kg Labut, selepas rumah mereka dilanda banjir, semalam.

Hujan yang tidak berhenti sejak Ahad menyebabkan hulu Sungai Tomani naik dan mengalir ke Sungai Padas dan bertambah teruk setelah bergabung dengan sungai Pegalan.

Dua puluh keluarga telah juga dipindahkan ke tiga pusat perlindungan sementara, iaitu Rumah Kebudayaan Kg Nalayun, Rumah Kebudayaan Kg Pantungon dan Dewan Kecil Jinuin Jimin Kg Mandalom Lama di daerah ini.

Banjir juga telah direkodkan di Beaufort dengan beberapa keluarga dipindahkan.

Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layappan mendedahkan angka itu kepada media selepas memantau dan melawat pusat perlindungan sementara di sini dan di Kemabong.

Beliau berkata makanan dan keperluan lain akan diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jabatan Kesihatan juga telah diminta untuk mengambil langkah yang perlu untuk mencegah malaria dan denggi daripada merebak.

Pusat Gerakan Banjir telah diaktifkan sejak 12:00 tengahari Isnin lalu dan boleh dihubungi di 087-735477 untuk bantuan.

Madiyem juga mengingatkan mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir untuk berpindah secepat mungkin dan membawa bersama dokumen mereka.

"Walaupun hujan telah berhenti, semua mangsa banjir masih ditempatkan di pusat perlindungan sementara kerana paras air di sungai Padas dan sungai Pegalan  menunjukkan bacaan 177,84 meter, yang merupakan tahap berbahaya," katanya.