29 Peniaga DikenakanTindakan - Hamat

LAHAD DATU - Ketua Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan  (KPDNKK) Cawangan Lahad Datu, Hamat Talip berkata seramai 29 peniaga di sekitar daerah ini telah diambil tindakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM4,772.40, sejak awal Januari tahun ini, sehingga semalam. Beliau memberitahu, antara kesalahan yang paling banyak dikesan dilakukan oleh para peniaga ialah yang melibatkan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 (KHAP 2011) iaitu kesalahn gagal meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual.

"Bagi kesalahan tersebut sebanyak 22 kes dikesan dilakukan oleh peniaga, manakal 7 kes lagi adalah melibatkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) iaitu menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan. "Semua kesalahan telah dikompaun dengan melibatkan kutipan keseluruhan kompaun sebanyak Rm3,000," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, selepas melaksanakan Ops Catut di salah sebuah pasaraya di sekitar kawasan bandar Sri Perdana, kelmarin.

Operasi tersebut turut disertai Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Appehdullah, yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan di bawah Jawatankuasa Pemantauan Harga dan Barangan Daerah Lahad Datu. Turut sama dalam ops tersebut adalah Pegawai-Pegawai daripada Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD). Sementara itu, kata Hamat, pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak empat keping notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 kepasa empat buah premis perniagaan di Lahad Datu bagi mendapatkan maklumat dan bukti-bukti dokumentasi tentang sebab-sebab kenaikan harga yang berlaku.

Jelasnya, sekiranya (peniaga) gagal menjawab Notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 dalam masa yang ditetapkan, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan dan bagi pertubuhan perbadanan didenda tidak melebihi RM100,000. "Para peniaga diingatkan supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan dan tidak mengambil untukg yang berlebihan dengan menaikkan harga barangan," tegasnya sambil menambah sehingga semalam pihaknya juga telah menjalankan pemeriksaan di sekitar daerah ini sejak Ops Catut dilaksanakan pada 15 Januari lalu.

Dalam pada itu, tambah Hamat lagi, sebarang aduan oleh pengguna boleh disalurkan melalui talian 1-800-886-800, laman web http://eaduan.kpdnkk.gov.my atau hadir sendiri di Pejabat PDNKK Lahad Datu di alamat Tingkat Bawah, MDLD 4505, Lot 65, Blok J, Bandar Wilayah, Jalan Bunga Raya, Lahad Datu.

Post a Comment