TAMATKAN PERINTAH BERKURUNG JIKA BENAR SABAH SELAMAT - NAZRI AZIZ



Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz meminta agar perintah berkurung ditamatkan bagi membuktikan negeri Sabah selamat untuk dikunjungi oleh pelancong.
Menurut beliau, jemputan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk ke Sabah tanpa pengawal peribadi dilihat tidak perlu sekiranya ia bertujuan untuk membuktikan Sabah selamat.
“Saya nak dia tamatkan perintah berkurung, tak payah buktikan pada saya, perkara begini kena buktikan pada orang ramai.
“Mudah, tak perlu nak jemput saya tanpa pengawal peribadi. Sebab bila kita dah tamatkan perintah berkurung, itu maknanya selamat,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Nazri berkata, perintah berkurung itu membuktikan Sabah masih lagi berada dalam zon yang tidak selamat.
Sebelum ini, Nazri dikecam kerana enggan mempromosikan Sabah atas alasan kes penculikan di Sabah membabitkan seorang anggota polis dan pengusaha ternakan ikan yang masih belum selesai.
“Pokoknya, kalau tempat itu dikenakan perintah berkurung, apa maknanya? Tak selamat. Kenapa Kuala Lumpur tak dikenakan perintah berkurung? Kenapa Pulau Pinang juga tak dikenakan perintah berkurung?
“Jadi tak payah buktikan kepada saya dengan cara itu, yakinkan saya dengan tamatkan perintah berkurung, itu yang penting.
“Sebab persepsi orang, kalau ada perintah berkurung, maknanya tak selamat. Ini bukan soal nak meyakinkan saya, tak payah jemput saya, cuma tamatkan perintah berkurung dan buktikan kepada rakyat,” tambah beliau.
Sebelum ini, Zahid menjemput Nazri untuk ke Sabah tanpa perlu diiring pengawal peribadi bagi membuktikan negeri itu benar-benar selamat untuk dikunjungi.
Jemputan itu turut disusuli dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang berkata bahawa Nazri tidak perlu untuk menerima undangan rasmi ke Sabah dan beliau bebas untuk ke negeri itu pada bila-bila masa kerana keselamatan yang terjamin. -The Rakyat Post

Post a Comment