179 Tempat Letak Kereta Baru Diwujudkan

KOTA KINABALU - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mewujudkan sebanyak 179 tempat letak kereta yang baharu bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan bandaraya. Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir berkata daripada jumlah sebanyak 70 lot letak kereta telah dibina dan 109 lot lagi sedang dalam pembinaan.

Tempat letak kereta yang telah siap ialah di Wawasan Plaza (14 lot), Jalan Tugu dan Laiman Diki (26 lot), Bandaran berjaya (12 lot) dan kawasan Klinik Luyang (18 lot tempat letak kereta) dan tempat letak kereta yang sedang dalam pembinaan ialah berhampiran pasar malam dan stesen minyak Pekan Inanam.

Dalam usaha menambah tempat letak kereta, pihak DBKK menghadapi masalah, kerana ruang yang amat terhad terutamanya di kawasan pusat perniagaan. Setakat ini, sebanyak 10, 960 tempat letak kereta sedia ada di kawasan pusat perniagaan. Kawasan strategik untuk membina bangunan letak kereta bertingkat di pusat bandar juga telah dikenalpasti.

Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar , Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk membina sebuah bangunan enam tingkat tempat letak kereta bernilai RM30 juta di Luyang juga disambut baik oleh Abidin. Beliau berharap orang ramai dapat bersabar kerana pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang dicadangkan itu, mengambil masa dan mempunyai prosedur seperti permohonan pelan dan lain-lain yang perlu dipatuhi sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan.

Mengenai kesesakan lalulintas di kawasan pusat perniagaan, Abidin menyarankan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan  awam. Pelan Induk Penambahbaikan Pengangkutan Awam telah disediakan. Permohonan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga telah dibuat, dan jika dana sudah ada, diharap semua inisiatif untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada dapat dilaksanakan.

Ini kerana, hanya dengan sistem pengangkutan awam yang terbaik dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sekaligus mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian dan secara tidak langsung mengurangkan bilangan kenderaan memasuki kawasan pusat perniagaan. 

Post a Comment