Sabah Dapat RM4.07b Dari Bajet Kerajaan Persekutuan

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri menerima peruntukan sejumlah RM4.07 bilion daripada kerajaan Pusat dalam Bajet Persekutuan tahun 2015. Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek pada tahun 2015 termasuk perumahan, jalan raya luar bandar, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, penghapusan kemiskinan dan lain-lain projek yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM272,850,00 dan antara projek tersebut adalah Program Perumahan Rakyat Kota Belud, Program Perumahan Rakyat Kudat dan Program Perumahan Rakyat di sewa Kg. Ketiau Putatan. Musa berkata bagi projek-projek melibatkan jalan raya luar bandar pula, kerajaan pusat memperuntukkan sejumlah RM165,585,255, melibatkan Projek Jalan Maliau Basin Tawau, Projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Sabah dan Projek Jalan ke Mesej Kg. Timpangoh Laut Penampang. 

Kerajaan pusat memperuntukkan RM99,250,000 untuk melaksanakan projek bekalan air luar bandar dan RM578,454,469 untuk bekalan elektrik luar bandar. Bagi program penghapusan kemiskinan di negeri ini, kerajaan pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM80,774,000 untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Program Khas Golongan Bumiputera Minoriti dan Projek Membekalkan Tangki Air di negeri ini.

Selain itu, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM2,873,260,784.94 bagi lain-lain  projek yang dirancang oleh kerajaan negeri. Antara projek tersebut ialah Projek SDC-Kelompok Industri Berasaskan Kelapa Sawit Lahad Datu, Pembinaan Loji Air dan Pemasangan Rangkaian Paip di Beaufort, Bekalan Air Keningau dan Pembinaan Loji Rawatan Air Keningau, Projek Pengurangan Sistem Average Interruption Duration Index (SAIDI) Fasa 2 serta Projek Pengukuhan Sistem Penjanaan Melalui Pembinaan Stesen janakuasa Hidro elektrik Upper Padas 180MW, Tenom.

Kerajaan negeri yakin dengan pelaksanaan dan penyiapan projek-projek serta program yang telah dirancang dan akan dilaksanakan dapat meningkatkan kualiti hidup semua lapisan masyarakat di negeri ini terutamanya penduduk luar bandar. Ucapan terima kasih diucapkan oleh Musa kepada datuk Seri Najib Tun Razak kerana keprihatinan dalam membantu agenda pembangunan di negeri ini. Peruntukan yang diluluskan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk melaksanakan pelbagai program dan projek seperti yang dirancang dan dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan utiliti kemudahan awam di negeri ini terutamanya di kawasan luar bandar. 

Kerajaan pusat sentiasa memberikan peruntukan tambahan yang dikemukakan kerajaan negeri. Misalnya apabila kita menghadapi bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jambatan rosak atau jalan rosak. Walaupun kerajaan pusat menyediakan peruntukan untuk negeri ini setiap tahun namun peruntukan tambahan tiada noktah apabila kerajaan negeri memerlukannya.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                               


Post a Comment