BATU SUMPAH KENINGAU ADALAH SATU PERINGATAN

KENINGAU: Batu Sumpah Keningau adalah satu peringatan bahawa rakyat Sabah hanya bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia jika kerajaan persekutuan menjamin semua tiga perkara yang diukir pada batu sumpah itu dihormati selamanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menggesa kerajaan persekutuan untuk memastikan semua tiga perkara itu dipenuhi dan dikekalkan.

“Gagal untuk memenuhi tiga perkara itu akan mengundang perkara buruk berlaku,”katanya.
Beliau menegaskan bahawa batu sumpah Keningau adalah cara hidup dan janji kerajaan pemerintah kepada rakyat Sabah yang mesti dihormati selamanya.

“Saya percaya rakyat Sabah akan terus menghormati negara selagi kerajaan memenuhi janji ini di batu sumpah Keningau yang mewakili kehendak dan keperluan anak negeri Sabah,” katanya.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pedalaman Atas 2014 yang diadakan di Perkarangan Bangunan Urusetia Keningau pada Isnin.

Sementara itu, Kurup turut menyelar tindakan beberapa pemimpin politik pembangkang yang mengadakan upacara Batu Sumpah menggunakan replika dekat sini baru-baru ini.

“Tindakan mereka menggunakan batu replika melanggar adat, tradisi kita,”katanya. Dalam pembangunan serupa, Kurup turut mencadangkan agar Batu Sumpah itu dipindahkan ke lokasi lebih sesuai supaya ia bebas dikunjungi oleh pengunjung pada masa hadapan.


Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Sook, Datuk Elron Alfred Angin, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Malaysia Gandesan A/L Letchuman dan Penolong Pegawai Daerah,Verus Malitam antara lain.

Harian Ekspres, 16 September 2014

ISU BATU SUMPAH DI KENINGAU

Isu Batu Sumpah di Keningau ini bermula apabila Pengerusi STAR Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan dan 300 orang awam tidak dibenarkan masuk oleh polis yang mengawal tapak Batu Sumpah tersebut ketika Sambutan Hari Malaysia 16 September yang lalu.

Isu menjadi lebih hangat apabila beliau menyoalkan tentang satu ayat "Kerajaan Malaysia Jamin" yang sengaja dipadamkan dari plak batu sumpah itu.

Sebelum SM mengupas dengan lebih lanjut tentang isu ini, mari kita kaji semula latar belakang Batu Sumpah Keningau ini.



1. Batu yang dipanggil Batu Sumpah ini terletak di hadapan Pejabat Daerah Keningau dan ditegakkan pada 1964, setahun selepas pembentukan Malaysia

2. Ditegakkan sebagai tanda penerimaan masyarakat di Pedalaman terhadap Malaysia.

3. Batu ini diperolehi dari Sungai Pegalan berhampiran Kampung Senegang, satu kampung kecil yang terletak di Jalan Keningau-Tenom.

4. Penerimaan masyarakat pedalaman pada waktu itu bermaksud segala kepentingan mereka seperti tanah, agama dan adat resam akan dipelihara dan dilindungi oleh Kerajaan Persekutuan dan diungkapkan melalui Duah Puluh Perkara.

5. Upacara rasmi membuka tirai Batu Sumpah ini dilakukan di hadapan Tan Sri V. Manickavasagam (mewakili Perdana Menteri Malaysia), Donald Stephens (Ketua Menteri Sabah), G.S. Sundang (Presiden Pasok Momogun), Yeap Kee Aik (Setiausaha Persekutuan), Richard Lind (Pegawai Daerah), OKK Sedomon, OKK Angian Andulag, pemimpin masyarakat, Ketua-Ketua Anak Negeri, pegawai-pegawai kerajaan dan wakil-wakil kumpulan Etnik pada 31 Ogos 1964.




Gambar Batu Sumpah Keningau terdahulu 


Gambar Batu Sumpah Keningau terkini

Seperti yang kita boleh lihat, ayat "Kerajaan Malaysia Jamin" tidak ditulis semula di plak peringatan yang baru ini. Angkara siapa? Salah siapa? Tidakkah 'mereka' takut akan kesan perubahan ini?
Harap ada pihak yang mengaku akan salah mereka dan seterusnya memperbaiki kesilapan ini.