Manifesto BN Satu Janji Besar Kepada Rakyat !


Manifesto BN Satu Janji Besar Kepada Rakyat




KOTA KINABALU, 7 APRIL : Manifesto Barisan Nasional (BN) memberikan satu janji yang besar kepada rakyat dan percaya keseluruhan rakyat Malaysia menantikan khabar baik itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, berkata manifesto BN Sabah secara keseluruhannya adalah sama dengan manifesto BN Pusat.

“Manifesto ini mencatatkan kejayaan, janji yang ditepati dan banyak lagi untuk rakyat. Rakyat boleh melihat sendiri bukti kerajaan BN yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan memikirkan apa yang kita lakukan selama ini dan masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan kempen Beautiful Malaysia bersama Astro Kasih di Sabah, disini kelmarin.

Selain itu, Musa menjelaskan  bahawa jentera BN Sabah sudah lama siap siaga menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, semua komponen BN Sabah mempunyai jalinan kerjasama erat, berbincang dan bersama-sama untuk memenangkan calon BN.

“Perkara yang penting adalah kita perlu memberitahu rakyat mengenai kebaikan, bukti jelas janji ditepati selama ini kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

“Kita beruntung mempunyai Perdana Menteri yang prihatin kepada semua rakyat di negara ini yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman damai,” katanya.

Musa juga berkata senarai calon untuk PRU-13 sudah muktamad dan keputusan terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menentukan siapa sesuai untuk dicalonkan pada kali ini.

Beliau mengakui ada beberapa muka baru dicalonkan oleh BN dalam PRU-13 ini.

Post a Comment