LIPUTAN JALUR LEBAR BANTU LAHIR PENDUDUK CELIK IT


BANTU LAHIR PENDUDUK CELIK IT - LIPUTAN JALUR LEBAR DI LUAR BANDAR



TONGOD : Usaha melahirkan penduduk luar Bandar yang celik Teknologi maklumat (IT) akan tercapai menerusi kemajuan liputan jalur lebar yang disediakan kerajaan.

Ketua Bahagian Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) Bahagian Kinabatangan, Masiung Banah berkata, usaha itu juga turut membuka ruang kepada masyarakat luar Bandar khususnya golongan wanita dan belia untuk bergiat dalam perniagaan atau mempromosi produk melalui internet.

“Melalui pemberian komputer 1 Malaysia dan pemasangan jalur lebar di kawasan luar Bandar, bukan sahaja mampu melahirkan penduduk yang celik IT, malah membuka peluang kepada usahawan untuk mempromosi produk melalui kemudahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Komputer 1 Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penangah di Tongod, yang menyaksikan seramai 100 pelajar menerima kemudahan itu.

Menurut Masiung, kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan, dan ia dibuktikan apabila semua golongan peringkat umur termasuk pelajar, belia dan mereka yang berkeluarga telah mendapat manfaat.

“Apa yang pasti, semua rakyat di negara ini mendapat bantuan. Seperti contoh, pelajar, golongan muda berpendapatan kurang RM2,000 dan ketua keluarga berpendapatan kurang RM3,000 masing-masing menerima bantuan awal persekolahan serta Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) RM250 dan RM500.

“Ini jelas memperlihat keprihatinan kerajaan yang merangkumi semua golongan di negara ini,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk luar bandar untuk terus memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kelangsungan pembangunan transformasi luar bandar.
Menurut beliau, rakyat luar bandar juga memainkan peranan yang penting dan mereka perlu bijak dalam memilih kerajaan yang terbaik untuk negara ini.

“Semboyan pilihanraya sudah dibunyikan dan hari mengundi semakin hampir. Oleh itu, rakyat perlu memberi sokongan kepada siapa sahaja calon BN yang akan bertanding kelak,” katanya.

Post a Comment