BN Yakin Rampas Kerusi Sepanggar : Datuk Jumat Idris #PRU13

Kota Kinabalu (17 April 2013) : Calon baru UMNO, Datuk Jumat Idris diberikan kepercayaan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di Parlimen Sepanggar.

Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Umno Sepanggar yakin mampu merampas kembali kerusi parlimen itu daripada parti pembangkang.

"Kita telah bekerja selama hampir empat tahun mengurus masalah rakyat dan kami tahu akan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Dengan ini, diharap rakyat akan mengimbangi untuk memilih BN mewakili Parlimen Sepanggar," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon-calon BN DUN dan Parlimen PRU-13, di sini kelmarin.

Pihaknya juga telah banyak melakukan perubahan khususnya pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Sepanggar serta menyelesaikan masalah sosio ekonomi yang dihadapi rakyat setempat.

Beliau yakin segala usaha itu akan dinilai oleh rakyat Sepanggar dan mendapat pertimbangan yang wajar.

Sementara itu, Datuk James Ratib terpilih menggantikan bekas penyandangnya, Datuk Surady Kayong yang digugurkan bagi calon kerusi DUN Sugut.

James yang ditemui berkata penyenaraian namanya sebagai calon kerusi berkenaan disifatkan sebagai 'penantian begitu lama' dan berjanji akan terus komited mempertahankan kerusi yang dianggap kubu kuat Umno dan BN itu.

"Pencalonan saya ini merupakan satu penantian buat para penyokong pada sekian lamanya dengan satu harapan dan perubahan baru terutama sekali DUN Sugut yang masih jauh ketinggalan.

"Dengan tanggungjawab yang diberikan ini saya akan memastikan DUN Sugut akan mendapat satu perubahan yang baru kepada rakyat setempat,," katanya.

Dalam pada itu, empat muka baru yang lain ialah Mohamad Alamin (Bongawan), Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Mohd Yusof Apdal (Lahad Datu) dan Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan). Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said akan bertanding di DUN Usukan.

Isnin optimis untuk mengekalkan momentum yang telah dilaksanakan oleh calon sebelum ini di DUN Klias.

"Apa yang penting adalah mengekalkan momentum sedia ada yang sebelum ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi oleh Datuk Azizah Mohd Dun. Kita juga optimis akan mempertahankan kerusi BN dan Umno di Klias dan saya yakin kerusi Parlimen yang kini disandang pembangkang akan berjaya dirampas sekaligus mengukuhkan kubu BN di kawasan Beaufort," katanya.

Sementara itu, Azizah akan bertanding di Parlimen Beaufort bagi merebut semula kerusi pembangkang manakala penyandang kerusi DUN Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur akan bertanding di Parlimen Silam bagi menggantikan Salleh Kalbi.

Post a Comment