Pembuangan Perkataan Pada Batu Sumpah Sama Seperti Pengkhianatan - DS Wilfred

KOTA KINABALU - Presiden Angkatan Perubahan Sabah (APS) Datuk Seri Wilfred Bumburing berkata pembuangan perkataan penting yang tertulis pada Batu Sumpah di Keningau sama seperti pengkhianatan .

Beliau berkata ini kerana Batu Sumpah dan tulisan di atasnya adalah satu-satunya bentuk dokumen yang diterima menurut perlembagaan berkenaan dengan pembentukan Malaysia selain daripada Perjanjian Malaysia 1963 dan semua dokumen lain yang dilampirkan kepada perjanjian itu.

Untuk itu beliau berkata beliau telah mengarahkan pegawai perhubungan APS di Keningau untuk mengemukakan satu laporan polis untuk mengetahui kebenaran di sebalik pembuangan perkataan paling penting yang tertulis pada Batu Sumpah itu.

Ia telah dilaporkan terdahulu bahawa perkataan "Kerajaan Malaysia Jamin" hilang daripada plak baru pada Batu Sumpah itu.

"Kami juga mahu mengetahui siapa yang membuka Batu Sumpah itu dari kedudukan asal dan mengapa perkataan tertentu telah dibuka atau dipadam. Mereka yang bertanggungjawab terhadap perkataan yang hilang itu harus dibawa ke mahkamah dan didakwa di bawah undang-undang berkaitan," katanya.

Beliau berkata adalah penting Batu Sumpah yang asal ditemui dan dikembalikan ke kedudukan asalnya. Batu Sumpah itu, katanya milik rakyat terutamanya di Pedalaman dan Rakyat Sabah amnya. Beliau juga berkata warga Malaysia harus dibenarkan untuk melawatnya bila-bila masa tanpa mengira siapa mereka.

"Ia bukan milik kerajaan dan oleh itu mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa daripada melawatnya," katanya.

Post a Comment