Rakyat Sabah Diingat Pilih Kerajaan BN Kerana Sudah Teruji



BEAUFORT, 21 Mac (Bernama) - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Azizah Mohd Dun mengingatkan rakyat Sabah supaya memilih kerajaan yang teruji dan terbukti mampu membawa pembangunan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata dalam hal ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod cemerlang, termasuk pembangunan yang dilaksana di bawah program transformasi.

"Selain itu, parti komponen dalam BN mempunyai ikatan persefahaman yang kukuh sekali gus membantu mengekalkan perpaduan di negara ini.


"Jelas sekali, hanya gandingan pemimpin yang mempunyai persefahaman yang kukuh akan dapat memastikan kesejahteraan negara ini tidak tergugat," katanya ketika berucap pada program Jelajah Salam Sayang di Kampung Luagan semalam.

Azizah berkata sebaliknya, parti pembangkang tidak sefahaman, "jadi bagaimana mereka dapat mentadbir negara ini dengan baik".


"Kita khuatir akan berlaku kacau-bilau dan kesejahteraan negara akan tergugat kalau mereka memerintah," katanya.

Justeru, beliau meminta rakyat menolak pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong untuk meraih sokongan rakyat.

"Kerajaan BN kita sayangkan rakyat. Kita tidak mahu rakyat berpecah-belah. Kerajaan BN sentiasa berusaha memastikan rakyat terus hidup dalam keadaan aman," katanya.

Azizah, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Klias, berkata kerajaan BN akan meneruskan usaha terbaik bagi memenuhi keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

"Tolak pembangkang, pilihan terbaik untuk kita ialah terus memberi sokongan kepada kerajaan BN kerana sudah terbukti hanya BN yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat sejak sekian lama," katanya sambil membidas pelbagai tohmahan yang dilempar pembangkang terhadap kerajaan dan pemimpin BN. - BERNAMA

Post a Comment