SOSMA = ISA ???


Apa Itu Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA)?

Penahanan 104 orang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di Lahad Datu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ini membuktikan bahawa pasukan keselamatan kita sentiasa memantau sebarang bentuk gerakan yang ada kaitannya dengan aktiviti keganasan.

Mereka yang ditahan itu disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Sulu. Baru2 ini juga seorang daripada pengganas yg terlibat dengan JI ditahan itu adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat (49).

Yazid dan seorang lagi yang didakwa bersubahat dengannya, Halimah Hussein (52) telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang. Yazid dituduh di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, manakala Halimah dituduh di bawah pertuduhan yang sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Kesalahan di bawah seksyen 130G(a) kanun terbabit sudah digolongkan sebagai kesalahan keselamatan di bawah SOSMA (Security Offences Special Measure Act 2012). Oleh sebab mereka ditahan di bawah SOSMA maka pihak pendakwa telah memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam berdasarkan peruntukan Seksyen 117A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Semua individu yang ditahan di Lahad Datu itu merupakan kes awal bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan SOSMA. Akta baru ini adalah akta yang menggantikan ISA yang telah dimansuhkan kerajaan pada 2011. Sebagai gantinya, pada 16 April 2012 perdana menteri telah membentangkan rang undang-undang terbabit di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama. Pada 17 April 2012 Rang Undang-Undang terbabit diluluskan tanpa sebarang pindaan serta diluluskan juga untuk bacaan kali ketiga.

Seperti juga ISA, SOSMA digubal berdasarkan peruntukan 149 Perlembagaan Persekutuan. Tujuan akta terbabit diperkenalkan adalah untuk mengenal pasti serta membanteras aktiviti pengganas, pengintipan dan ancaman terhadap keselamatan negara.

Kuasa mutlak polis

Akta ini memberi kuasa mutlak kepada polis untuk mengumpul bahan bukti serta memintas atau gangguan maklumat komunikasi tanpa waran mahkamah. Dalam prosedur penahanan, pihak berkuasa diberikan tempoh 28 hari untuk menahan seorang suspek bagi tujuan siasatan. Selepas tempoh itu suspek hendaklah di bawa ke mahkamah di mana suspek boleh didakwa atau dibebaskan.

Semua pendakwaan di bawah SOSMA mestilah dibawa ke Mahkamah Tinggi. Mereka yang didakwa akan diberikan pengadilan sewajarnya di mahkamah. Malah, individu yang ditahan di bawah SOSMA boleh mencabar penahanan mereka di mahkamah. Tahanan boleh memfailkan writ habeas corpus ke atas sebab dan tujuan penahanan mereka.

Jelaslah, bahawa di bawah penguatkuasaan akta baru itu, kuasa untuk membuat semakan kehakiman ke atas sebab penahanan dan perbicaraan mesti dibuat di mahkamah, berbanding ISA yang kuasanya hanya ada pada menteri berkaitan. Malah, SOSMA lebih adil berbanding undang-undang cegah keganasan yang diperkenalkan Amerika Syarikat yang membenarkan penahanan tanpa bicara di Guantanamo Bay, sehingga 10 tahun.

Akta ini juga menyatakan secara khusus bahawa tiada siapa akan ditahan kerana fahaman politik. Untuk memastikan penguatkuasaan akta tersebut dilaksanakan seperti mana yang diperuntukkan maka satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaannya dan membuat kajian berterusan ke atas akta baru itu, serta membuat pindaan sekiranya perlu. Justeru, timbul soal ia disalahgunakan oleh kerajaan.

Rakyat perlu faham bahawa dalam trend keganasan global hari ini, negara pada bila-bila masa boleh diancam oleh pengganas sama ada yang datang dari dalam mahupun dari luar atau kedua-dua sekali berpadu tenaga untuk menghancurkan negara. Justeru, satu bentuk undang-undang yang dapat mencegah dan membendung kejahatan kemanusiaan seperti ini amat diperlukan.

Rakyat juga perlu faham bahawa setiap kebebasan itu perlu berasaskan kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’. Malah, dalam Artikel 29 (2) Piagam Sejagat mengenai hak asasi manusia ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan oleh undang-undang bagi tujuan menegakkan dan mengiktiraf hak dan kebebasan orang lain. Ini bermakna hak kolektif tidak harus diketepikan.

Hakikatnya, negara masih memerlukan udang-undang berkaitan keselamatan negara, apatah lagi dunia hari berhadapan dengan ancaman bentuk baru, iaitu terrorism dan ekstremisme yang merentas sempadan. Bagaimana pun SOSMA adalah undang-undang yang dirangka dengan mengambil kira keseimbangan antara hak asasi dan kepentingan keselamatan negara.

Undang-undang ini amat diperlukan bagi mencegah dan mengawal sebarang aktiviti keganasan. Penguatkuasaan SOSMA itu bertujuan membendung aktiviti kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara keganasan dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Post a Comment