KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengingatkan mesyarakat di negeri ini agar tidak mengambil mudah dan mensia-siakan keamanan dan perpaduan yang dikecapi agar tidak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab. Katanya, perpaduan yang ada perlu dikekalkan agar pihak yang mempunyai agenda tersembunyi tidak mengambil kesempatan untuk menghancurkan kemajuan, kemakmuran dan keharmonian yang telah dibina.
Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya menerima dan menghormati kepelbagaian budaya , agama dan kepercayaan yang terdapat di negara kita. Sehubungan dengan itu, hak dan keistimewaan setiap rakyat Malaysia akan terus dijaga dan dikekalkan, walaupun berbeza pegangan agama, kepercayaan, budaya dan tradisi.
Menyentuh tradisi rumah terbuka yang dilaksanakan dalam setiap perayaan, Musa berharap budaya kunjung-mengunjungi melalui rumah terbuka itu terus diadakan demi memupuk perpaduan, dan bukannya dijadikan sebagai platform untuk mencapai matlamat politik semata-mata. Beliau berkata, memandangkan masyarakat pada masa kini boleh hidup dalam keadaan aman, beliau menyarankan agar perpaduan dan kesepakatan yang dinikmati terus dikekalkan.
Matlamat ini akan dapat dicapai sekiranya kita kekal bersatu dan tidak membenarkan kepercayaan dan sikap saling menghormati terhakis mengikut peredaran masa. Rakyat di negeri ini disarankan agar terus berdaya tahan dan kukuh agar dapat membina negara ini bersama-sama dan mencapai kualiti hidup yang lebih baik, disamping menjadikan Sabah lebih berdaya saing di Malaysia dan di rantau ini.
Musa juga mengingatkan dalam meraikan perayaan ini, jangan lupa mengenai golongan dan insan yang kurang bernasib baik. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan penyayang, kita perlu tampil untuk membantu mereka yang memerlukan, apatah lagi sempena sambutan Krismas ini. Keadaan akan bertambah gembira apabila melihat semakin banyak pihak sama ada orang perseorangan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang meraikan Krismas di rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat jagaan orang kurang upaya.
Musa juga melahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga demi tugas dan tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Post a Comment