DBKK Saman Pemilik Kenderaan Gagal Pamer Kupon

KOTA KINABALU - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini giat mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang gagal mempamerkan kupon bayaran letak kenderaan. Tindakan tegas itu diambil terhadap pemilik kenderaan yang gagal mematuhi sistem kupon letak kenderaan di kawasan bandaraya bermula 1 Januari lalu. Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn Bhd Kenny Chan berkata, tindakan saman itu mula dikenakan selepas memberikan tempoh selama tiga bulan kepada pengguna untuk memahami cara-cara penggunaan sistem kupon berkenaan.


Sistem kupon letak kereta diperkenalkan untuk menggantikan sistem tiket sejak 1 Oktober tahun lalu untuk mendidik pengguna supaya lebih berdisiplin selain menjimatkan masa. Usaha ini dilakukan bagi memastikan pengguna dapat merancang jangka masa letak kereta dengan lebih efektif sekali gus mengelakkan tunggakan caj letak kereta masing-masing. Mengulas penggunaan sistem kupon itu, Kenny memberitahu terdapat peningkatan ketara terhadap penjualan tiket selepas penguatkuasaan sistem itu.

Daripada jangkaan 30,000 yang meletak kenderaan, sebanyak 300 saman yang dikeluarkan. Ini menunjukkan hanya 1 peratus yang gagal mempamerkan kupon letak kereta. Oleh itu, peningkatan ketara penggunaan sistem kupon ini menunjukkan sokongan masyarakat terhadap sistem ini yang dilihat lebih efektif. Justeru, Kenny turut berharap orang ramai akan terus mematuhi sistem itu untuk mengelakkan daripada disaman selain memastikan penggunaan sistem itu berterusan.

Dalam pada itu, pemilik kenderaan yang masih berdegil dan gagal mempamerkan kupon letak kereta akan dikenakan kompaun sehingga RM30 bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Post a Comment