Ustaz Kazim Elias |
Program anjuran Umno Bahagian Beaufort, Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama beberapa Jabatan dan Agensi Kerajaan daerah Beaufort itu berlangsung di pentas utama pekarangan Tamu Pekan Beaufort dibanjiri pengunjung seawal jam 7 malam.
Biarpun terpaksa berhadapan masalah kekurangan tempat duduk dan letak kenderaan, namun keadaan itu tidak mematahkan semangat pengunjung untuk menghadiri ceramah dan menyaksikan secara dekat Ustaz Kazim Elias yang sebelum ini hanya mereka lihat di saluran Utama TV termasuk program-program ceramah yang pernah diadakan di Ibu Kota khususnya di Kota Kinabalu.
Gaya bersahaja Ustaz Kazim menyampaikan ceramahnya menjadikan orang ramai tidak berganjak dari tempat duduk dari awal hingga tamat program pada jam 10:30 malam. Suasana sentiasa diceriakan dengan usikan jenaka, pantun, dan nyanyian beliau yang menyentuh pelbagai isu rumah tangga dan sosial masyarakat masa kini dan pendidikan.
Antara isi ceramahnya menyentuh mengenai isu rumah tangga dan masalah sosial turut menyentuh perasaan penonton yang dikupas kemas selari dengan perkembangan semasa. Beberapa pengunjung ditemui menyatakan keterujaan mereka dapat bertemu dan mendengar ceramah Ustaz Kazim secara langsung buat pertama kalinya di daerah itu.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort, Omar Shahrom Haji Osin ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pendekatan yang dilakukan oleh Umno Bahagian Beaufort membawa program tersebut ke daerah Beaufort merupakan pendekatan positif bagi mengajak golongan muda dalam program keagamaan yang dapat mendidik minda mereka untuk menjadi seorang pemimpin pelapis yang diperkayakan dengan nilai-nilai positif melalui pengajaran dalam intipati ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim.
Katanya, golongan muda perlu dilibatkan dalam program-program keagamaan sebagai kaedah membina akhlak serta jatidiri mereka dalam menghadapi cabaran semasa terutamanya yang melibatkan keruntuhan moral dan masalah sosial yang melanda masyarakat hari ini. Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Haji Mohd Fadzlee Abdullah bersyukur program tersebut mendapat sambutan meriah dari orang ramai mendorong penganjur khususnya Umno Bahagian itu untuk mengadakan program sedemikian pada masa akan datang.
"Syabas kepada penganjur khususnya Ketua Umno Bahagian dan jawatankuasa penganjur, kerana berjaya mengadakan program ilmu seumpama itu dengan sambutan meriah orang ramai," katanya. Turut hadir Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Haji Ombi, Ketua Umno Bahagian Beaufort selaku Pengerusi Penganjur, Datuk Isnin Haji Aliasnih, Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongi dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman.
Post a Comment