JANGAN BUAT KENYATAAN UMUM MENYELURUH - SALLEH

DS Salleh Tun Said Keruak


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak berkata konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) bukan retorik semata-mata seperti didakwa oleh Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Perlantikan menteri, pembantu menteri, setiausaha tetap, pengarah jabatan serta agensi kerajaan negeri di samping pegawai daerah dan pemimpin masyarakat adalah bukti perkongsian kuasa diamalkan.”

“Ia masih wujud di Sabah,” kata Salleh mengulas kenyataan Dr Ongkili pada Selasa, yang mana beliau berkata ramai penyokong dan ahli PBS tidak puas hati kerana mereka berasa dipinggirkan dalam pembuatan keputusan selain pembahagian kuasa.

Terlalu banyak rungutan dan aduan dikemukakan oleh rakyat bahawa sebagai parti komponen BN, kami dianggap tidak banyak memainkan peranan dalam urus tadbir negeri walaupun memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri, kata Dr Ongkili.

Bagaimanapun, Salleh berkata pelantikan sedemikian adalah bukti tiada satu pun parti dipinggirkan dalam pembuatan kuputusan atau parti komponen lain BN tidak memainkan peranan aktif dalam mentadbir negeri ini.

“Jangan ikut rentak pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri untuk memusnahkan perpaduan dalam BN,” katanya.

Katanya, membuat kenyataan kasar seperti itu boleh menimbulkan perpecahan dalam perikatan berharmoni, dan sebarang masalah atau rasa tidak puas hati harus dikemukakan untuk perbincangan dan tidak disuarakan kepada umum untuk faedah politik.

Salleh berkata isu pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat adalah hasil perubahan yang dibuat beberapa kali termasuk perubahan yang dibuat oleh parti komponen BN kepada senarai nama yang dikemukakan kepada kepimpinan BN Sabah.

Menurutnya, UMNO tiada masalah dengan pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat di kawasan di mana BN kalah kepada pembangkang dalam pilihan raya terakhir.

“Adalah tidak wajar untuk mengatakan bahawa pelantikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat dilantik lebih awal di Sri Tanjong dan Tamparuli, di mana BN kalah. Kedua-dua pemimpin ini adalah dari PBS,” katanya.

Salleh yang juga Speaker Dewan Negeri berkata seorang Pemimpin Pembangunan Masyarakat juga tidak dilantik di Klias, di mana UMNO kalah dalam pilihan raya terakhir.

“Beliau tidak harus membuat kenyataan umum menyeluruh, yang boleh menyebabkan persepsi salah terhadap senario politik di Sabah,”katanya.

Salleh berkata, beliau difahamkan bahawa senarai nama untuk jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat telah pun dikemukakan oleh parti komponen masing-masing dan dimuktamadkan, dan upacara angkat sumpah akan dilaksanakan pada bulan ini.

Katanya, ia termasuk penyerahan senarai oleh presiden PBS kepada kepimpinan BN Sabah.

“Kepimpinan BN Sabah tiada bantahan kepada senarai yang dikemukakan dan kepimpinan PBS sedar ia tiada bantahan,”katanya.

- DE 140115

Post a Comment