KOTA KINABALU : Dianggarkan lebih RM300 juta diperlukan untuk mengatasi masalah banjir di Sabah khususnya di Sepanggar, Penampang dan Putatan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Beliau berkata sebanyak RM100 juta diperlukan bagi proses membesarkan sungai secara berperingkat di Kampung Rampaian dan Kampung Mansiang di Sepanggar dan lebih RM200 juta bagi membesarkan Sungai Moyog di Penampang dan sungai di Putatan.
“Untuk tempoh jangka masa pendek, kita memerlukan hampir RM40 juta untuk menyelesaikan masalah banjir di pantai barat termasuk Penampang. Ia tidak termasuk kawasan Tuaran dan Kota Belud,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Keluarga bersama Persatuan Ibu Tunggal di Dewan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, dekat sini hari Sabtu.
Jainab yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sepanggar menggesa kontraktor yang terlibat dalam projek pembangunan khususnya jalan raya di Sabah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk di kawasan yang dilanda banjir.
“Saya merayu kepada kontraktor yang terlibat dan membuat projek-projek pembangunan seperti di Kampung Gudon, Sepanggar supaya tampil untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Katanya, walaupun bencana alam seperti banjir adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi ia juga berlaku disebabkan “tangan-tangan manusia” yang menjalankan pembangunan di kawasan berkenaan.
Terdahulu ketika berucap, Jainab berkata kementeriannya berperanan untuk menjelaskan beberapa isu berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada rakyat agar mereka faham tentang isu itu.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan CBP tidak membebankan rakyat berikutan kebanyakan perkhidmatan asas dan barang keperluan dikecualikan cukai itu.
Post a Comment