BATU SUMPAH KENINGAU ADALAH SATU PERINGATAN

KENINGAU: Batu Sumpah Keningau adalah satu peringatan bahawa rakyat Sabah hanya bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia jika kerajaan persekutuan menjamin semua tiga perkara yang diukir pada batu sumpah itu dihormati selamanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menggesa kerajaan persekutuan untuk memastikan semua tiga perkara itu dipenuhi dan dikekalkan.

“Gagal untuk memenuhi tiga perkara itu akan mengundang perkara buruk berlaku,”katanya.
Beliau menegaskan bahawa batu sumpah Keningau adalah cara hidup dan janji kerajaan pemerintah kepada rakyat Sabah yang mesti dihormati selamanya.

“Saya percaya rakyat Sabah akan terus menghormati negara selagi kerajaan memenuhi janji ini di batu sumpah Keningau yang mewakili kehendak dan keperluan anak negeri Sabah,” katanya.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Pedalaman Atas 2014 yang diadakan di Perkarangan Bangunan Urusetia Keningau pada Isnin.

Sementara itu, Kurup turut menyelar tindakan beberapa pemimpin politik pembangkang yang mengadakan upacara Batu Sumpah menggunakan replika dekat sini baru-baru ini.

“Tindakan mereka menggunakan batu replika melanggar adat, tradisi kita,”katanya. Dalam pembangunan serupa, Kurup turut mencadangkan agar Batu Sumpah itu dipindahkan ke lokasi lebih sesuai supaya ia bebas dikunjungi oleh pengunjung pada masa hadapan.


Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Sook, Datuk Elron Alfred Angin, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Malaysia Gandesan A/L Letchuman dan Penolong Pegawai Daerah,Verus Malitam antara lain.

Harian Ekspres, 16 September 2014

Post a Comment